Wednesday, February 23, 2011

Si Pemalas & Abu Hanifah


Suatu hari ketika Imam Abu Hanifah Rahimahullah yang sedang berjalan-jalan melalui sebuah rumah yang jendelanya masih terbuka, terdengar olehnya suara orang yang mengeluh dan menangis tersedu-sedu.

Antara keluhannya itu berbunyi,

"Aduhai, alangkah malangnya nasibku ini, agaknya tiada seorang pun yang lebih malang dari nasibku yang celaka ini. Sejak dari pagi lagi belum datang sesuap nasi atau makanan pun di kerongkongku sehingga seluruh badanku menjadi lemah longlai. Oh, di manakah hati yang belas ehsan yang sudi memberi curahan air walaupun setitik..??"

Mendengar keluhan itu, Imam Abu Hanifah berasa kasihan lalu dia pun balik ke rumahnya dan mengambil bungkusan hendak diberikan kepada orang itu. Sebaik sahaja dia sampai ke rumah orang itu, dia terus melemparkan bungkusan yang berisi wang kepada si malang tadi lalu meneruskan perjalanannya.

Dalam pada itu, si malang berasa terkejut setelah mendapati sebuah bungkusan yang tidak diketahui dari mana datangnya, lantas dia tergesa-gesa membukanya.

Setelah dibuka, nyatalah bungkusan itu berisi wang dan secebis kertas yang bertulis,

"Hai manusia, sungguh tidak wajar kamu mengeluh sedemikian itu..!! Kamu tidak pernah atau perlu mengeluh akan tetapi peruntungkanlah nasibmu. Ingatlah kepada kemurahan Allah S.W.T. dan cubalah bermohon kepadaNya dengan bersungguh-sungguh. Jangan suka berputus asa wahai kawan, akan tetapi berusahalah terus..".

Pada keesokan harinya, Imam Abu Hanifah melalui lagi rumah itu dan suara keluhan itu kedengaran lagi,

"Ya Allah Tuhan Yang Maha Belas Kasihan dan Pemurah, sudilah kiranya memberikan kepadaku bungkusan lain seperti kelmarin, sekadar untuk menyenangkan hidupku yang melarat ini. Sungguh, jika Kamu tidak beri, maka akan lebih sengsaralah hidupku...".

Mendengar keluhan itu lagi, maka Abu Hanifah pun lalu melemparkan lagi bungkusan berisi wang dan secebis kertas dari luar jendela itu, lalu dia pun meneruskan perjalanannya. Orang itu terlalu riang sebaik sahaja mendapat bungkusan itu. Lantas terus membukanya.

Seperti dahulu juga, di dalam bungkusan itu tetap ada cebisan kertas lalu dibacanya,

"Hai kawan, bukan begitu cara bermohon, bukan demikian cara berikhtiar dan berusaha. Perbuatan demikian 'malas' namanya. Ia bererti putus asa kepada kebenaran dan kekuasaan Allah. Sungguh tidak redha Tuhan melihat orang pemalas dan putus asa; enggan bekerja untuk keselamatan dirinya..

Jangan..!! Jangan berbuat demikian..!! Hendak senang mesti suka pada bekerja dan berusaha kerana kesenangan itu tidak mungkin datang sendiri tanpa dicari atau diusahakan..

Orang hidup tidak perlu atau disuruh duduk diam tetapi harus bekerja dan berusaha.. Allah tidak akan memeperkenankan permohonan orang yang malas bekerja.. Allah tidak akan mengabulkan doa orang yang berputus asa..

Sebab itu, carilah pekerjaan yang halal untuk kesenangan dirimu. Berikhtiarlah sedapat mungkin dengan pertolongan Allah. InsyaAllah, akan dapat juga pekerjaan itu selama kamu tidak berputus asa.. Nah carilah segera pekerjaan, aku doakan kamu segera berjaya..".

Sebaik sahaja dia selesai membaca surat itu, dia termenung, dia insaf dan sedar akan kemalasannya yang selama ini dia tidak suka berikhtiar dan berusaha.

Pada keesokan harinya, dia pun keluar dari rumahnya untuk mencari pekerjaan. Sejak dari hari itu, sikapnya pun berubah mengikut sunnatullah (peraturan hidup) dan tidak lagi melupai nasihat orang yang memberikan nasihat itu.

Catatan Penulis :

Dalam Islam tiada istilah pengangguran, istilah ini hanya digunakan oleh orang yang berakal sempit. Islam mengajar kita untuk maju ke hadapan dan bukan mengajar kita tersadai di tepi jalan. Dan bagi mereka yang punya 'kelebihan' bantulah mereka yang 'kekurangan'. Bukan sekadar dibantu dengan diberikan wang ringgit, akan tetapi bantulah mereka dengan dibukakan jalan untuk mereka meneruskan kehidupan.

***

Tuesday, February 22, 2011

Malaikat, Kerbau, Kelawar & Cacing..

Diceritakan bahawa pada suatu hari Allah S.W.T. telah memerintahkan salah seorang malaikatNya untuk pergi menemui salah satu makhlukNya iaitu kerbau dan menanyakan pada kerbau apakah ia senang telah diciptakan Allah S.W.T. sebagai seekor kerbau.


Lalu malaikat segera pergi menemui kerbau. Di siang yang panas itu kerbau sedang berendam di sungai. Malaikat mendatanginya kemudian mulai bertanya kepada kerbau, "Hai kerbau apakah kamu senang telah dijadikan oleh Allah S.W.T. sebagai seekor kerbau..??".

Kerbau menjawab, "MasyaAllah, alhamdulillah, aku bersyukur kepada Allah S.W.T. yang telah menjadikan aku sebagai seekor kerbau, daripada aku dijadikanNya sebagai seekor kelawar yang ia mandi dengan kencingnya sendiri..".

Mendengar jawapan itu malaikat segera pergi menemui seekor kelawar. Malaikat mendatangi kelawar yang siang itu sedang tidur bergantungan di dalam sebuah gua.


Kemudian malaikat mula bertanya kepada kelawar, "Hai kelawar apakah kamu senang telah dijadikan oleh Allah S.W.T. sebagai seekor kelawar..??".

"MasyaAllah, alhamdulillah, aku bersyukur kepada Allah S.W.T. yang telah menjadikan aku sebagai seekor kelawar, daripada aku dijadikanNya seekor cacing. Tubuhnya kecil, tinggal di dalam tanah, berjalannya saja menggunakan perutnya," jawab kelawar.

Mendengar jawapan itu pun malaikat segera pergi menemui seekor cacing yang sedang merayap di atas tanah.

Malaikat bertanya kepada cacing, "Wahai cacing kecil apakah kamu senang telah dijadikan Allah S.W.T. sebagai seekor cacing..??".


Cacing menjawab, " MasyaAllah, alhamdulillah, aku bersyukur kepada Allah S.W.T. yang telah menjadikan aku sebagai seekor cacing, daripada dijadikanNya sebagai seorang manusia. Apabila mereka tidak memiliki iman yang sempurna dan tidak beramal soleh, ketika mereka mati, akan diseksa selama-lamanya".

Coretan Penulis :
Sesungguhnya manusia itu dijadikan dengan sebaik-baik kejadian. Manusia diciptakan oleh Allah S.W.T. punya akal; tidak haiwan. Bila manusia menggunakan nikmat akal itu dengan sebaik mungkin, dia akan menjadi lebih mulia berbanding seorang malaikat. Adapun yang menjadikan nafsu sebagai pemandu kehidupan pula, jadilah manusia itu lebih hina berbanding seekor kerbau atau kelawar atau cacing atau haiwan-haiwan yang lainnya.

***

Monday, February 21, 2011

Rehlah Hodaidah Vol.2

Salamullahi'alaikum untuk pengunjung blog ini...

Tidak sampai seminggu lagi jamiah (universiti) akan memulakan semester baru. Dan bermula kelmarin, keputusan peperiksaan bagi semester yang baru berlalu sudah mula ditampal di papan kenyataan. Alhamdulillah untuk semua madah (subjek), aku lulus ...

Hari ini aku hendak sambung sedikit lagi nukilanku berkenaan rehlah (lawatan) ke Hodaidah tempoh hari. Dan seperti biasa, sekali lagi gambar-gambar memainkan peranan pentingnya di dalam penulisan ini.

Sebagaimana dalam catatanku sebelum ini, selain daripada Jami' Kabir di Zabit, di sini juga terletaknya sebuah lagi masjid yang menjadi bukti penting kepada perkembangan Islam di Yaman iaitu Jami' Al-'Asya'ir yang diasaskan oleh Abu Musa Al-'Asya'ari; salah seorang sahabat Nabi S.A.W.

Sedikit info berkenaan sahabat Nabi ini :
  • Rumah Abu Musa Al-'Asya'ari merupakan rumah pertama yang didiami oleh Nabi S.A.W. ketika sampai di Madinah di dalam peristiwa hijrah.
  • Nama penuhnya ialah Abu-Musa Abdullah ibn Qays Al-'Asy'ari.
  • Abu Musa datang berasal dari Yaman, dimana As-'Asy'ari pada namanya dinisbahkan kepada kabilahnya di Yaman iaitu Bani 'Asya'ir.
  • Dia menerima Islam di Mekah sebelum hijrah dan kembali ke Yaman untuk menyebarkan iman. Tidak ada khabar darinya selama hampir 1o tahun sampailah selepas pembukaan Khaibar pada tahun 628M ketika ia datang kepada Nabi S.A.W. di Madinah dengan lebih daripada 50 orang yang kemudianya telah memeluk termasuk kedua-dua saudaranya iaitu Abu Ruhm dan Abu Burdah.
  • Menjadi gabenor di Yaman pada masa pemerintahan Khalifah Abu Bakar As-Siddiq.
  • Dia juga pernah dilantik sebagai gabenor Basrah dan Kufah di Iraq dan terlibat dalam pembukaan awal Islam di Parsi.
Setelah dilantik oleh Rasulullah S.A.W. sebagai salah seorang utusan ke Yaman, Abu Musa telah pulang ke kampung halamannya lalu mengasaskan sebuah masjid di sana dan masjid itu telah dinamakan dengan Jami' Al-'Asya'ir pada tahun ke-8 hijrah .

Jami' Al-'Asya'ir




Menara masjid



Di hadapan pintu masuk masjid



Suasana di dalam masjid yang berusia lebih 1400 tahun
setelah beberapa kali pembaikpulihan




Katil yang digunakan untuk meletakkan mayat


Arkib berkenaan Jami' Al-'Asya'ir









Sebahagian keunikan juga rekabentuk & senibina
Kota Zabit yang berusia lebih ribuan tahun


InsyaAllah entri 'Rehlah Hodaidah' ini akan ada sambungannya lagi...
Nantikan...

Baca Juga : Rehlah Hodaidah Vol.1

Catatan Penulis :

Lawatan ini diadakan lebih sebulan yang lalu sebelum tercetusnya huru-hura di antara pihak pro-kerajaan juga pihak anti-kerajaan di Yaman sebagaimana dilaporkan di media massa. Penulis memohon kepada semua supaya mendoakan keselamatan juga kesejahteraan penduduk Malaysia terutamanya para pelajar yang bermaustatin di sini.

Foto ehsan : Nikon D90 Benkareem

_________

Bumi Sana'a
20 Februari 2011
Jam 2317


***

Sunday, February 20, 2011

Kenali Peribadi Melalui Tulisan Anda


A) Tekanan

i. Tekanan yang kuat :
(Seseorang yang menulis dengan kuat tekanannya sehingga berbekas di bahagian belakang kertas).

• Sihat, cergas, pantas dan sedikit agresif

ii. Tekanan yang ringan :
(Seseorang yang menulis dengan lembut dan ringan dan tidak berbekas).

• Kurang bertenaga, kurang sihat dan mudah sakit

B) Bentuk Tulisan

i. Tulisan yang bulat-bulat :
(Semua huruf ditulis dengan bulat).

• Emosional, prihatin, pengasih penyayang, kepekaan tinggi dan banyak memakai otak di sebelah kanan (otak kreatif)

ii. Tulisan yang tajam-tajam atau leper-leper :
(Tulisan yang angular dan sharp [tajam] ).

• Rasional, berkerja dgn sistematik, pandai mengurus dan banyak memakai otak di sebelah kiri (otak logical)

C) Kecondongan

i. Condong ke kanan :

Extrovert, suka bercerita, berkongsi maklumat dengan orang lain, peramah, suka campur orang, mudah memimpin, mudah menunjukkan kasih sayang, berani, pemurah

ii. Condong ke kiri :

Introvert, suka menyimpan rahsia, agak pemalu, tak suka berubah, amat setia kepada kekasih,
keluarga, organisasi dan negara tetapi tak suka campur orang

iii. Tegak :

Systematic, mudah kawal diri, suka berkawan tetapi tak cari kawan sebaliknya kawan cari dia,
tak suka gaduh-gaduh, suka ambil jalan tengah

iv. Campur-campur :

• Emosi tak tetap macam remaja yang belum cukup umur atau macam oarng perempuan datang bulan (maaf)

D) Kerapatan

i. Jarang-jarang :

• Tak suka campur orang, kurang mesra dan sedikit boros.

ii. Rapat-rapat :

• Suka campur orang, amat bergantung kepada orang lain, jimat atau kedekut

E) Pada huruf J, G, Y, Z ( Ekor)

i. Besar, panjang dan sempurna :

• Tahap emosi yang dipamer itu jelas, pengasih penyayang, pemurah, mudah kesian pada orang,
mempamerkan tahap kerajinan

ii. Kecil, pendek dan tak sempurna :

• Tak pandai mempamerkan emosi, kurang rajin, tidak pandai mempamerkan kasih sayang walaupun sayang itu banyak dalam diri

F) Pada palang huruf kecil T (t)

i. Tinggi :

• Tahap aspirasi tinggi

ii. Rendah :

• Mudah berpuas hati, cita-cita rendah

iii. Tengah-tengah :

• Usaha dan tahap pencapaian itu di tahap sederhana

Rumusan :
Menurut teori psikologi, tulisan sebenarnya mencerminkan peribadi dan kita boleh menukar tulisan kita untuk mengubah peribadi dan personaliti kita dengan sengaja supaya kita cemerlang dalam hidup.

Pesanan penulis :

Tidak kisahlah bagaimanapun bentuk tulisan anda, tetapi pastikan ianya boleh dibaca oleh orang lain. Dan ini untuk para pelajar khususnya, kerana peratusan paling tinggi yang menyebabkan anda fail (gagal) di dalam peperiksaan adalah kerana kegagalan juga kesukaran pemeriksa untuk membaca apa yang ditulis di dalam kertas jawapan anda.

Wallahu'alam.

***

Thursday, February 17, 2011

Mimpi & Rindu...

Dikisahkan dari Said bin Ziyad dari Khalid bin Saad bahawa Mu'az bin Jabal R.A. telah berkata,

" Rasulullah S.A.W. telah mengutusku ke Yaman untuk mengajarkan tentang Islam. Maka tinggallah aku di sana.

Pada satu malam aku bermimpi dikunjungi oleh seseorang, kemudian orang itu berkata kepadaku,

"Apakah kamu masih tidur wahai Mu'az, sedangkan Rasulullah S.A.W. telah berada di dalam tanah?"

Mu'az terbangun dari tidur dengan rasa takut, lalu dia mengucapkan, 'A'uzubillahi minasy syaitannir rajim'. Setelah itu dia berwudhu' lalu mengerjakan solat.

Pada malam berikutnya, Mu'az bermimpikan perkara yang sama lagi. Apabila Mu'az tersedar daripada tidurnya lalu dia berkata, "Kalau seperti inilah mimpinya, bukanlah ia daripada syaitan..!!". Kemudian dia memekik sekuat-kuatnya, sehingga didengari sebahagian penduduk Yaman.

Keesokannya di saat orang ramai berkumpul, lalu Mu'az berkata kepada mereka,

"Malam tadi dan malam sebelumnya aku bermimpikan sesuatu yang sukar untuk difahami. Dahulu, bila Rasulullah S.A.W. bermimpikan sesuatu yang sukar difahami, baginda membuka Mushaf (Al-Quran). Maka berikanlah Mushaf kepadaku,".

Setelah Mu'az menerima Mushaf, lalu dibukanya maka ternampaklah olehnya akan firman Allah
Taala yang bermaksud,

"Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati (pula)." (Az-Zumar:30).

Maka menjeritlah Mu'az, sehingga dia tak sedarkan diri. Setelah dia sedar kembali, dia membuka Mushaf lagi, dan dia ternampak firman Allah yang berbunyi,

"Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah Jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun, dan Allah akan memberi balasankepada orang-orang yang bersyukur." (Ali-lmran:144)

Maka Mu'az pun menjerit lagi, "Aduhai Abal-Qassim..!! Aduhai Muhammad..!!".

Kemudian dia keluar meninggalkan Yaman menuju ke Madinah. Ketika Mu'az akan meninggalkan penduduk Yaman, dia berkata kepada mereka, "Seandainya apa yang aku lihat ini adalah benar, maka akan meranalah para janda, anak-anak yatim dan orang-orang miskin. Dan kita akan menjadi seperti biri-biri yang tidak ada pengembala."

"Alangkah sedihnya berpisah dengan Nabi Muhammad S.A.W." kata Mu'az lagi lalu pergi meninggalkan mereka.

Di saat ia berada pada jarak lebih kurang tiga hari perjalanan dari Kota Madinah, tiba-tiba terdengar olehnya suara halus dari tengah-tengah lembah, yang mengucapkan firman Allah yang bermaksud, "Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati."

Lalu Mu'az mendekati sumber suara itu, setelah berjumpa.

Mu'az bertanya kepada orang tersebut, "Bagaimana khabar Rasulullah S.A.W.?".

Orang tersebut menjawab, "Wahai Mu'az, sesungguhnya Muhammad S.A.W. telah meninggal dunia..."

Mendengar ucapan itu Mu'adz terjatuh dan tidak sedarkan diri. Lalu orang itu menyedarkannya, ia memanggil Mu'az, "Wahai Mu'az sedar dan bangunlah..!!".

Tatkala Mu'az sedar kembali, orang tersebut lalu menyerahkan sepucuk surat untuknya yang dikirimkan oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq R.A , dengan khatam (cop) milik Rasulullah S.A.W. Tatkala Mu'az melihatnya, dia lalu mencium cop tersebut dan diletakkan di matanya; seraya dia menangis dengan tersedu-sedu. Setelah puas dia menangis dia pun melanjutkan perjalanannya menuju ke Kota Madinah.

Mu'az tiba di Kota Madinah di saat fajar menyingsing. Didengarnya suara Bilal sedang mengumandangkan azan Subuh. Di ketika Bilal mengucapkan, "Asyhadu Alla Ilaaha Illallah.." Mu'az menyambungnya, "Wa Asyhadu Anna Muhammadar Rasulullah.." Kemudian dia menangis sebelum akhirnya jatuh dan tidak sedarkan diri lagi.

Pada ketika itu, di samping Bilal bin Rabah R.A. ada Salman Al-Farisi R.A. lalu dia berkata kepada Bilal, "Wahai Bilal, sebutkanlah nama Muhammad dengansuara yang kuat, ianya adalah Mu'az yang sedang pengsan,".

Ketika Bilal selesai azan, dia mendekati Mu'az, lalu dia berkata: "Assalamualaika, angkatlah kepalamu wahai Mu'az, sesungguhnya aku telah mendengar dari Rasulullah S.A.W. yang baginda bersabda, "Sampaikanlah salamku kepada Mu'az..".

Maka Mu'az pun mengangkatkan kepalanya sambil menjerit dengan suara keras, sehingga sahabat-sahabat yang ada menyangka bahawa dia telah menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Kemudian dia berkata, "Demi ayah dan ibuku, siapakah yang mengingatkan aku kepada baginda, ketika baginda akan meninggalkan dunia yang fana ini, wahai Bilal? Marilah kita pergi ke rumah isteri baginda Aisyah R.A.".

Ketika sampai di depan pintu rumah Aisyah, Mu'az mengucapkan, "Assalamualaikum ya ahlil bait, wa rahmatullahi wa barakatuh.."

Yang keluar ketika itu adalah Raihanah, dia lalu berkata, "Aisyah ke rumah Fatimah,".

Kemudian Mu'adz berjalan menuju ke rumah Fatimah dan mengucapkan, "Assalamualaikum ya ahlil bait..".

Fatimah menyambut salam tersebut, kemudian dia berkata,

"Rasulullah SAW bersabda, 'Orang yang paling alim di kalangan kamu tentang perkara halal dan haram adalah Mu'az bin Jabal, dia adalah kekasih Rasulullah S.A.W.' ".

Fatimah R.A. berkata kepadanya lagi, "Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda, 'Sampaikanlah salamku kepada Mu'az dan khabarkan kepadanya bahawa dia kelak di hari kiamat sebagai imam ulama' ".

Kemudian Mu'az bin Jabal R.A keluar dari rumah Fatimah R.A. menuju ke arah kubur Rasulullah S.A.W.

Demikianlah secebis kisah betapa rindu & cintanya sahabat kepada Baginda Rasulullah S.A.W. Dan jika hendak dibuat pembandingan dengan kita semua, pasti akan terasa betapa kerdilnya diri berbanding para sahabat Nabi S.A.W.

Meski mulut menyatakan rindu belum pasti kerinduan itu mampu diterjemahkan dengan perbuatan...

Meski mulut menyatakan cinta, belum tentu kecintaan itu mampu dibuktikan dengan pengorbanan..

السلام عليك يا حبيب الله

Layakkah Aku Meraih Cintamu Kekasih...

P/S : Posting ini sempena Maulidur Rasul, walau terlewat 2 hari tapi peri pentingnya biarlah Rasulullah S.A.W. itu hidup di dalam setiap diri individu muslim dengan kita mengikut jalan yang telah ditinggalkan Baginda.

***

Saturday, February 12, 2011

Engkau Aku Lupakan..

Salamullahi'alaikum untuk semua pengunjung teratak ini..

Kelmarin aku baru selesai peperiksaan akhir untuk semester ini.. Natijah penuhnya belum diketahui, mungkin dalam beberapa minggu lagi. Mudah-mudahan Allah memberikan yang terbaik untuk segala usaha hambamu ini...

Dua hari lagi tarikh 14 Februari bakal lagi. Tidak perlukah aku menjelaskan ada apa dengan tarikh ini kerana masing-masing sudah maklum serta masing-masing sudah mengetahui yang mana baik untuk dikuti dan yang mana buruk untuk dijauhi.

Baca : Ada Apa Dengan 14 Februari ???

Dan sehari selepasnya iaitu 15 Februari pula, tarikhnya adalah bersamaan dengan 12 Rabi'ulawal 1432H. Tarikh ini yang lebih penting sebenarnya untuk kita semua ingati juga hayati akan perjalanan kisah disebaliknya sebagai motivasi juga panduan kita; umat di akhir zaman.

Baca
: Layakkah Aku Meraih Cintamu Kekasih...

Tadi selepas maghrib aku ke rumah persatuan pelajar kerana dianjurkan satu ceramah motivasi. Dan penceramahnya adalah Dr Shafie ( Penasihat Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor ) yang kebetulan berkunjung ke Yaman. Dan kesempatan ini telah digunakan oleh PERMAYA untuk memanfaatkan kedatangannya ini.

Di dalam ceramahnya tadi, begitu banyak mutiara berharga yang telah dikongsikan termasuk pengalaman Dr Shafie sendiri di dalam menghafal Al-Quran sehingga lengkap 30 juzuk.

Menurut ceritanya, dia adalah seorang yang berkelulusan perakaunan dan hanya mula menghafal dan mendalami Al-Quran sedari umur 30 tahun setelah beroleh hidayah daripada Allah Taala ke arah itu. Satu perkara yang membuatkanku kagum dengannya adalah, setiap kali kata-kata yang dituturkannya akan diselangi dan didatangkan dengan ayat-ayat Al-Quran mengukuhkan percakapannya itu.

Dan pada penghujung ceramahnya tadi, Dr Shafie berkongsi tip-tip berharga untuk menghafal serta mengulang Al-Quran menurut kaedah yang diguna juga yang diperkenalkannya di dalam salah sebuah buku tulisannya.

Antara pengkongsian Dr Shafie yang hendak aku kongsikan bersama semua :

"Bila kita cintakan seseorang pasti kita mengetahui dan akan melakukan apa yang paling disukai oleh orang yang kita cintai itu.. Dan begitu juga jika kita cintakan Allah, maka hal yang paling Allah sukai adalah orang-orang yang dekat hatinya dengan kalam Allah iaitu Al-Quran lalu lakukanlah (hafal Al-Quran).."

"Kesusahan pada permulaan menghafal Al-Quran itu sebenarnya adalah pintu pertama yang perlu kita tempuhi sebelum menemui pintu yang keduanya. Dan disinilah sebenarnya terletak kesungguhan kita untuk berjaya melalui pintu pertama dan kedua juga pintu-pintu seterusnya untuk sampai ke matlamat.."

"Jika sebaris daripada ayat-ayat Al-Quran itu kita ingati dengan 100 kali diulang bacaannya berbanding orang lain dengan hanya 10 kali bacaan, janganlah kita berduka dan bergundah kerana pahala yang akan kita dapat sebenarnya lebih banyak dan besar berbanding orang yang cepat hafalannya. Bukankah setiap huruf daripada Al-Quran itu nilaiannya adalah 10 dan cuba bayangkan sebanyak mana pahala yang sudah kita peroleh dek ulangan kita yang berkali-kali itu..??"

"Dan perkara asas yang perlu ditanamkan bila kita menghafal Al-Quran adalah keikhlasan. Tugas kita hanya menghafal akan tetapi yang akan memberikan kefahaman dan ingatan di dalam hati adalah Allah Subhanahu Wa Taala. Jadi jangan pula kita mengambil tugas Allah sebagai Pemberi..."

Inilah sebahagian mutiara berharga yang boleh aku kongsikan bersama semua walau sebenarnya banyak lagi yang dikongsikan sepanjang lebih sejam setengah ceramah Dr Shafie tadi.

Dan ceramah Dr Shafie telah menyedarkan aku dari lamunan yang bahawasanya, "Aku telah melupakan Al-Quran tanpa aku sedari..."

Begitu banyak ayat-ayatnya yang ku hafal sebelum ini telah hilang entah ke mana. Mungkin ini juga sebenarnya satu faktor yang menyebabkan aku susah untuk mengingati dan menyimpan pelajaran-pelajaran yang lainnya di dalam memori untuk satu satu tempoh waktu yang lama.

Berbanding sebelumnya, walau Al-Quran itu aku hafal dengan keadaan memaksakan diri kerana ianya sebahagian subjek yang mesti diambil untuk meluluskan aku di dalam peperiksaan, ia sebenarnya banyak membantu di dalam pelajaran-pelajaranku yang lainnya..Tidak pernah langsung aku terlintas untuk berfikir akan semua ini...

Terima kasih doktor untuk kata-katamu itu dan segala puji aku kembalikan kepadaMu Ya Allah dengan lafaz, " ALHAMDULILAH..."

***

Soalan Cepumas Dari Eja

Nama aku telah ditag dengan seolan cepumas dari Eja ; salah seorang teman blogger dan aku telah diminta untuk memberikan jawapannya..

Soalannya berbunyi begini :

Ada 5 perkara berlaku serentak.
1. Air mendidih kat dapur.
2. Air paip melimpah kat bilik air.
3. Bayi menangis.
4. Telefon berbunyi.
5. Ada orang ketuk pintu.

Kalau anda diberi pilihan, apakah perkara yang anda akan 'settle' kan terlebih dahulu?

Anda dikehendaki untuk susun perkara 1 ~ 5 tersebut mengikut kepentingan dan keutamaan yang anda fikirkan.....

Semua perkara tersebut mestilah diselesaikan.

Susunlah ikut perkara yang anda rasa lebih penting untuk diselesaikan dahulu.

Bayangkan anda sedang mengalami keadaan seperti itu sekarang.

Fikirkan dan timbangkan, apakah perkara yang anda akan selesaikan mengikut keutamaan anda.

Dan jawapan ikhlasku tanpa dipaksa oleh mana-mana pihak :

3. Bayi menangis.
1. Air mendidih kat dapur.
2. Air paip melimpah kat bilik air.
4. Telefon berbunyi.
5. Ada orang ketuk pintu.

Dan kepada Eja aku menantikan penjelasanmu untuk jawapan yang telah aku pilih ini... :)

***

Thursday, February 3, 2011

Fir'aun Mubarak Dan Legasi Al-Banna


Hanya menunggu waktu, yang berbilang jam, ‘Fir’aun' Mubarak akan turun dari kekuasaannya. Tidak ada lagi yang dapat mempertahankan kekuasaannya. Tentera tidak mahu lagi menjadi alat Mubarak. Seluruh rakyat Mesir dari berbagai golongan sudah muak dengan kekuasaannya. Kekuasaan Mubarak hanya meninggalkan penderitaan bagi rakyatnya.

Sekutunya yang selama ini melindunginya cuci tangan. Obama, Hillary Clinton, dan David Cameron, sudah mengisyaratkan agar Mubarak mengundurkan diri. Satu-satunya yang masih berharap Mubarak menjadi presiden hanyalah Israel. Kerana, Mubarak sekarang menjadi ‘tuhan’ bagi Israel, yang dapat menyelamatkannya dari bahaya kehancuran.

Mubarak sudah berkuasa lebih dari 30 tahun. Mubarak sama kejamnya dengan Jamal Abdul Nasser, yang membunuh rakyatnya secara biadab. Mentadbir negara dengan kuku besi. Mubarak juga menjadi ‘anjing’ Israel dalam menghadapi gerakan Islam, dan negara-negara Arab yang menjadi ancaman terhadap negara Zionis. Mubarak tak lain ‘penyamun’ yang bertopeng pemerintah. Merompak wang rakyat Mesir, yang disimpan di bank-bank di Eropah, nilainya mencapai USD37.887 bilion. Sama seperti Presiden Tunisia El Abidin, yang merompak kekayaan Tunisia, 1.5 tan emas batangan, dan wang USD6.57 bilion yang disimpan di bank-bank di Eropah.

Inilah karakter para penguasa diktator Arab. Kejam, biadab, menindas, memenjarakan, membunuh, memiskinkan, dan merompak kekayaan negara, yang tak pernah bisa dibayangkan oleh akal. Kekuasaannya yang demikian panjang, hanya menciptakan rakyat menjadi bodoh, tak memiliki pekerjaan, dan ramai golongan berpendidikan tinggi, akhirnya melarikan diri ke negara-negara lainnya.

Tetapi, betatapun kuatnya kekuasaan diktator, akhirnya tumbang juga, dan masa kekuasaannya berakhir. Seperti Fir’aun yang pernah mengatakan,”Ana rabbukum a’la” (Saya tuhanmu yang maha tinggi), ucap Fir’aun. Penguasa kejam yang kekuasaannya hanya ditongkat oleh Israel dan Amerika, sudah menjadi ‘tuhan’, sangat angkuh dan menghina rakyatnya sendiri. Tidak memiliki belas kasihan sedikitpun terhadap saudara sesama Muslim, dan justru membiarkan mereka dalam penderitaan.

Sikap Mubarak itu dipertontonkan ketika rezim Zionis-Israel melakukan serangan ke atas Gaza, yang membunuh umat Islam di Gaza, tetapi Mubarak dengan kejamnya telah menutup negaranya dari dimasuki oleh warga Gaza. Bahkan mereka yang cedera parah terkena serangan udara Israel pun, tidak boleh masuk ke Mesir. Ya Allah! Betapa kejam dan biadabnya Mubarak itu.

Sekarang si Fir’aun yang sudah akan tenggelam di Laut Merah itu, tak ada lagi yang mau menjadi penolongnya, rakyatnya sudah tidak ingin melihatnya lagi. Teman-teman yang menjadi sekutunya melarikan diri, dan membiarkannya sendirian. Anaknya yang selama ini diharapkan menjadi pewarisnya, sudah lebih dahulu melarikan diri bersama isteri dan keluarga pergi keluar negeri.

Inilah tragedi para penguasa Arab yang tidak memiliki kekuatan akar umbi rakyatnya. Para penguasa Arab, umumnya, tak lain, mereka itu menjadi penjaga kepentingan penjajah. Mereka hanya menjadi ‘budak suruhan’ para penjajah Barat dan Israel. Mereka tak pernah ingin menjadi pelindung rakyatnya apatah lagi agama Islam.

Kerana itu, mereka menjadi hina dina, dan akhirnya hidup dan mati di buang negeri ketika kekuasaannya sudah di penghujung. Seperti Fir’aun yang meminta tolong Tuhan, ketika sakaratul maut sudah berada di lehernya, tetapi tak ada lagi yang mahu menolongnya. Fir’aun tenggelam di Laut Merah. Fir’aun dan bala tenteranya yang mengejar Musa dan para pengikutnya tak dapat mengejarnya. Kemudian, Fir’aun dan bala tenteranya tenggelam di dasar Laut Merah. Meksipun jasad Fir’aun ditemui kembali di tepian laut, yang sekarang dimumiakan.

Mubarak menunggu takdirnya yang tak mungkin akan dapat dihindarinya. Ikhtiarnya untuk menyelamatkan diri akan sia-sia. Tiga puluh tahun kekuasaannya, hanya menghiris tinta hitam bagi rakyat Mesir. Tinta hitam seorang diktator yang tak pernah peduli dengan kehidupan rakyatnya. Tidak peduli dengan Islam.

Mesir banyak melahirkan Fir’aun-Fir’aun baru yang kejam dan tak pernah percaya kepada Tuhan. Sejak Raja Farouk, yang digulingkan Jenderal Najib, dan kemudian melahirkan pemerintahan tentera. Najib digulingkan oleh Jenderal Jamal Abdul Nasser, yang menjadi alat Soviet dan menjadi diktator yang sangat kejam serta memenjarakan ribuan anggota Jamaah Ikhwan termasuk menggantung leher tokoh-tokohnya seperti Sayyid Qutb, Ali Audah dan lainnya. Jamal Abdul Nasser yang menjadi ‘hamba sahaya’ Soviet itu, mati, dan digantikan oleh Anwar Sadat.

Sadat tak kalah bebal dan bodohnya. Dia mengingkari hakikat dan kedaulatan Mesir dengan membuat perjanjian damai dengan Israel dan membuka hubungan diplomatik dengan negeri penjajah Zionis-Israel. Sejak itu, Mesir yang menjadi negara yang paling strategik di kawasan Timur Tengah, telah termasuk perangkap Israel. Tak ada lagi perang melawan Israel. Mesir menipudaya PLO, yang dipimpin Yasser Arafat untuk meninggalkan perjuangan ketenteraannya melawan penjajah Israel. Tetapi, Mesir tetap tidak mendapatkan apa-apa. Akhirnya, Anwar Sadat dibunuh oleh seorang perwira tentera Mesir, Khaled Islambouli, saat perarakan tentera memperingati hari Angkatan Perang Mesir, 6 Oktober 1978.

Mubarak yang menggantikan Anwar Sadat ini, bertindak lebih jauh lagi terhadap Israel, seakan-akan Mubarak itu, bukan lagi pemimpin Mesir. Mubarak itu sudah seperti pemimpin Israel. Kerana pembelaan terhadap Israel yang sangat berlebihan. Mubarak benar-benar menjadi penjaga Israel di Timur Tengah. Bukan penjaga bangsa Arab dan Islam.


Di Mesir di tahun 1928 lahir Jamaah Ikhwanul Muslimin yang didirikan oleh Hasan Al-Banna. Ikhwan yang mempunyai ‘main role’ yang sangat penting dalam kehidupan politik di Mesir. Sesudah 20 tahun kemudian, Al-Banna menyerukan jihad untuk mengusir Israel dan Yahudi dari tanah Palestin. Maka pada tahun 1948, ribuan sukarelawan Mesir pergi ke Palestin berjihad membebaskan tanah Palestin. Meskipun, peperangan itu gagal akibat pengkhianatan para pemimpin Arab. Hakikatnya, tujuan Jamaah Ikhwan didirikan oleh Hasan Al-Banna itu tak lain untuk membebaskan negeri-negeri Muslim yang terjajah.

Sekarang tujuan Ikhwan itu tak pernah berubah, membebaskan Mesir dari penjajah Barat. Kerana itu, Ikhwan selalu bertentangan dengan para penguasa Mesir yang merupakan alat penjajah. Akhirnya, Hasan al-Banna syahid dibunuh oleh Raja Farouk yang menjadi kaki tangan Inggeris.

Seterusnya Ikhwan turut memainkan peranan menggulingkan Raja Farouk bersama Jenderal Najib, tetapi tak lama selepas Najib diguling dan digantikan oleh Jamal Abdul Nasser, Jamal telah memperlakukan anggota dan pemimpin Ikhwan dengan sangat kejam. Memenjara, membunuh serta menggantung tokoh Ikhwan. Anwar Sadat dan Mubarak adalah sama, sangat memusuhi Ikhwan. Para jeneral itu tidak pernah memberikan hak hidup terhadap Ikhwan sejak dibubarkan tahun 1956.

Tetapi, para pemimpin Ikhwan begitu sabar dan teguh. Tak pernah menyerah dengan para penguasa yang zalim. Tak pernah menjilat kepada para penguasa zalim. Terus melakukan dakwah mengajak rakyat Mesir kembali kepada Islam. Sampai sekarang Ikhwan di Mesir tidak pernah berubah walau sesaat pun dengan semboyannya, ‘Islam huwal hal’ (Islam adalah solusi). Ikhwan menyakini keagungan Islam. Tak mahu menukar dan menggadaikan Islam dengan kekuasaan. Hidup pemimpin Ikhwan benar-benar menjadi tauladan.

Seperti kesaksian Dr.Yusuf al-Qaradawi yang pernah dipenjara bersama dengan tokoh-tokoh Ikhwan, di penjara tentera Liman Touroh, menceritakan bagaimana penjara-penjara itu berubah menjadi tempat ibadah yang sangat teduh, indah, dan penuh kenikmatan. Pagi, siang dan malam, senantiasa terdengar suara zikir dan alunan ayat-ayat al-Qur’an tak henti-henti. Sungguh sangat indah. Mereka orang-orang yang sangat sabar.

Aksi protes yang berlangsung lebih seminggu di Mesir, memperlihatkan bagaimana rakyat Mesir yang sudah diwarnai dengan nilai-nilai Islam yang ditanamkan oleh Ikhwan itu, tak pernah melupakan mereka melakukan ibadah shalat. Sungguh indah nilai-nilai Islam yang ditanamkan Ikhwan. Di tengah-tengah krisis politik yang begitu hebat, para pemimpin dan gerakan Ikhwan telah menunjukkan karakter dan jatidirinya yang mulia.

Wallahu’alam.

Sumber asal : Mufakkir-Islami diedit dari : Era Muslim

Baca juga : Dr Faisal Tehrani

***
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...