Thursday, February 25, 2010

Layakkah Aku Meraih Cintamu Kekasih...

Duhai kekasih..
Tika saat buminya panas
Nur Ilahi mula menempias
Langit ditutup daripada pencuri berita
Api yang menyala akhirnya terpadam jua
TUAN Kaabah yang menundukkan tentera bergajah di sempadan tihamah
Telah mentakdirkan kelahiranmu di kota karamah
Dikaulah penghulu sekalian anbiya'
Pembawa rahmat ke pelusuk dunia..

Duhai kekasih..
Engkau membesar saat tanah gersang menduga
Lalu diangkat dan didekatkan pada Kaabah nan mulia
Engkau dilahirkan untuk dicintai
Hatta musuh yang ditakdir turut menyenangi
Engkau cucu kesayangan
Anak saudara yang dibanggakan
Engkau anak yatim yang menyenangkan si ibu susuan
Lalu cinta Si Bidadari turut diraihkan...

Duhai kekasih...
Tika uzlahmu di gua Hira'
Langit dan bumi yang telah lama terpisah berhubung semula
Jibrail datang membawa wahyu
Bahawa perjuanganmu bakal mengundang seteru
Mujur Si Bidadari di sisi memahami dan mempercayainya
As-Siddiq berjanji menjadi teman setia
Sepupumu Karamullahu wajhah tenang mengikuti
Serta bapa saudara yang sudi melindungi...

Duhai kekasih...
Badai mehnah yang melanda
Bagaikan tiada penghujungnya
Dicaci,dihina hingga tiada mampu akal memikirkannya
Hatta dibaling najis busuk tiada tersangka
Onak dan duri yang ditabur
Cacian dan makian yang dihambur
Namun dikau tetap tabah
Lalu tertumpah kesabaran pada sahabat-sahabat yang membuatkan hati bertambah gagah...

Duhai kekasih..
13 tahun penuh seksa yang dilalui
Juga Thoif yang turut menjadi saksi
Berhijrahlah dikau ditemani As-Siddiq,teman setia
Dari kota karamah ke kota cahaya
10 tahun seterusnya dihiasi kegemilangan
Melimpah nur ke lembah yang dulunya berisi kegelapan
Namun mehnah itu senantiasa mengiringnya
Perjuangan menyebarkan risalah langit tetap ada cabarannya
Badar menjadi saksi golongan yang percaya
Uhud menjadi saksi duka
Parit yang diusahakan menjadi saksi bantuan Allah kepada mereka
27 peperangan yang dilalui,namun senantiasa diiringi wajah ceria...

Duhai kekasih...
Hari arafah menjadi saksi segala
Bahawa setiap mula ada akhirnya
Hari-hari terus berlalu sepi
Sehingga tiba hari engkau mengucapkan 'Ummati...Ummati...Ummati...'
Al-Farooq menghunuskan pedang di jalanan
Karamallahu Wajhah terduduk pengsan
Zunur 'Ain diam mengunci bicara
As-Siddiq juga yang kembali tenang
Jika air mata mereka mampu mengubah segala
Maka tentu kekasih yang dicintai tidak akan meninggalkan mereka
Kerana sudah tertakdir bagi setiap manusia
Kematian itu untuk setiap yang bernyawa...

Duhai kekasih...
Memadaikah aku tunjukkan cintaku terhadapmu sekadar berselawat terhadapmu?
Mencukupikah aku angkatkan sepanduk bila menjelangnya hari kelahiramnu?
Memadaikah aku titipkan alunan nasyid mengingati sirah perjuanganmu?
Mencukupikah segala majlis dan segala pengisian menyambut hari kelahiranmu?

Aku akui itu semua belum cukup untuk aku meraih cintamu wahai kekasih...

Malu rasanya menyatakan cinta
Kepada dia kekasih Allah
Kerana dia insan mulia
Sedangkan diriku insan biasa

Ku pujuk jua hati dan jiwa
Meluahkan rasa cinta membara
Di dalam pujian ucapan selawat
Tanda penghargaan seorang umat

Selagi upaya ku turuti ajarannya
Apa terdaya ku amalkan sunnahnya
Moga di dunia mendapat berkat
Di akhirat sana beroleh syafaat

Kerana peribadinya aku terpesona
Kerna budinya aku jatuh cinta
Rinduku padanya tiada terkata
Nantikanlah daku di taman syurga

Sesungguhnya apa yang ku dambakan
Adalah cinta Allah Yang Esa
Kerana cinta kepada Rasulullah
Bererti cinta kepada Allah

---

Wednesday, February 24, 2010

Perarakan Dibatalkan,Umat Islam Dihina..?

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang..

Seminggu kebelakangan,media massa sibuk memaparkan berita mengenai majlis perarakan Maulidur Rasul yang dibatalkan oleh seorang Ketua Menteri yang non-Muslim di sebuah negeri utara tanah air. Isu ini menjadi bualan ramai pihak sehingga ada ada di kalangan mereka yang bertindak membuat laporan polis dengan alasan Ketua Menteri itu tidak menghormati agama Islam selaku agama rasmi Malaysia.

Cuma sehari dua ini,isu ini mula reda bila beberapa pihak tampil membuat kenyataan termasuk daripada beberapa orang tokoh agama. Penulis melihat isu ini cuba diperbesarkan oleh beberapa pihak yang berkepentingan bertambahan pula bilamana yang membatalkan majlis itu berada pada pihak yang menjadi musuh politiknya. Ditambah dengan pihak media yang hanya melaporkan majlis itu dibatalkan semata,sedang daripada sumber maklumat lain yang penulis dapat,majlis itu bukannya dibatalkan bahkan diganti dengan perhimpunan di dalam sebuah dewan dengan pengisiannya ceramah sempena hari kelahiran nabi.

Jika ini yang sebenarnya,pada pandangan peribadi penulis,si Ketua Menteri bukannya telah menghina sensitiviti umat Islam,walhal inilah yang penulis boleh katakan sebagai menghormati agama Islam selaku agama rasmi negara.

Sebelum penulis menghurai dengan lebih lanjut mengenai kenyataan diatas ingin penulis mengajak pembaca semua melihat dan meneliti kepada beberapa hal.

Yang pertamanya,di negeri paling utara tanah air yang merupakan tempat kelahiran penulis sendiri majlis perarakan Maulidur Rasul sebenarnya sudah lama tidak diadakan. Ia telah dibatalkan oleh kerajaan negeri yang memerintah sejak beberapa tahun yang lalu atas alasan ianya bid'ah. Tetapi isu ini tidak pula menjadi bahan berita. Mungkin kerana yang membatalkan partinya sama dengan individu-individu yang membantah si Ketua Menteri non-Muslim walau yang memerintah di negeri penulis itu agamanya Islam. Mengapa tidak dilabelkan juga pemerintah negeri penulis sebagai menghina Islam kerana membatalkan perarakan Maulidur Rasul..??

Yang keduanya,di negeri timur tanah air bila menjelangnya tarikh 12 Rabi'ul Awwal perarakan tidak diadakan tetapi digantikan dengan ceramah dan kuliah di masjid dan surau bagi memperingati kelahiran dan perjuangan dakwah junjungan mulia. Tidak pula isu perarakan menjadi bantahan penduduk-penduduknya?

Beberapa info yang boleh penulis hurai dan katakan berkaitan isu perarakan ini:

1) Perarakan sempena memperingati hari kelahiran nabi sememangnya bid'ah kerana tidak pernah dilakukan sepanjang hayat Rasulullah mahupun oleh para sahabat rasul dan tiada mana-mana dalil atas yang demikian itu bahkan ianya sekadar budaya terutama kita masyarakat Melayu. Cuma budaya berarak sambil berselawat ini tidaklah menjadi kesalahan dengan agama selagimana ianya tidak bercampur dengan unsur-unsur yang memaksiatkan Allah.

Sebagai contoh,jika perarakan itu disertai oleh mereka yang tidak menutup aurat,tidak bersolat ketika sampai waktunya dan seumpamanya maka jadilah perarakan itu sesuatu yang dikeji agama.

2)Perarakan itu sebenarnya hanya satu simbolik untuk menunjukkan kesatuan umat Islam. Apa yang lebih penting ialah 'roh' daripada perarakan itu. Roh itu adalah penghayatan kita terhadap sirah hidup dan perjuangan baginda rasul. Jika tiada roh maka jadilah perarakan itu hanya perhimpunan biasa yang dihadiri ramai orang sedang ada orang yang tidak menghadiri perarakan,tetapi roh agamanya kuat.

3) Perarakan itu kemungkinan boleh bertukar menjadi fitnah terhadap agama Islam. Ini kerana masyarakat non-muslim sentiasa melihat dan menilai apa yang kita lakukan. Jika kita sebagai seorang Islam hebat pada sambutan Maulidul Rasul dan selainnya,tetapi dalam konteks kehidupan kita tidak mencerminkan peribadi muslim,bukankah itu telah menjadi fitnah? Orang bukan Islam akan menganggap bahawa agama Islam itu buruk sedang hakikatnya ia dipandang buruk dek perlakuan penganutnya sendiri.

4) Konsep ceramah atau kuliah bila menjelangnya Maulidur Rasul lebih bermakna dan bermanfaat berbanding perarakan sambil berselawat. Dengan ini sirah kehidupan dan perjuangan Rasulullah S.A.W akan lebih dihayati. Kerana sirah rasul itu ibarat ubat yang mengubati penyakit ummah. Bila kita jahil dengan sirah rasul,kehidupan kita akan terumbang-ambing kerana tiada panduan. Atas sebab itulah,bila musuh menjajah umat Islam,perkara pertama yang cuba dihilangkan daripada umatnya ialah pengetahuan terhadap sirah nabi.

5) Penghayatan terhadap hari kelahiran nabi bukan sekadar menyambutnya pada tarikh 12 Rabi'ul Awwal semata,akan tetapi kita memperingati kelahiran rasul dengan menjadikan baginda sebagai idola dalam setiap aspek kehidupan kita dengan mengikuti sunnah Rasulullah S.A.W sepanjang masa bukan pada masa dan tarikh tertentu sahaja.

Kesimpulan penulis,bukan perarakan yang menjadi isu kekuatan mahupun kelemahan umat Islam,tetapi kefahaman dan penghayatan kita terhadap sesuatu perkara yang menjadi kuncinya. Jika benar pegangan,benarlah amalannya...Dan jika salah pegangan,salahlah amalannya...

Friday, February 19, 2010

Islam Kembali Dagang...

Rasulullah S.A.W bersabda: "Bermula Islam dalam keadaan dagang,dan ia (Islam) akan kembali dagang sebagaimana ia bermula,maka berita gembira untuk orang-orang yang dagang : iaitu mereka yang memperbaiki apa yang dirosakkan oleh manusia selepasku ( kewafatan Nabi S.A.W ) daripada sunnah-sunnahku,"

-Maksud hadis riwayat Imam Muslim-

Islam ketika mula bertapak di Makkah,ianya asing dan tidak dikenali oleh masyarakat. Atas faktor asing dan uniknya Islam itulah ia dibenci dan dimusuhi. Pendokong-pendokongnya pula dizalimi dan dihadapkan dengan pelbagai ujian dan dugaan sepanjang perjalanan dakwah.

Kesan daripada penapakan Islam ini,ada di kalangan pendokong-pendokongnya yang diseksa,hatta ada yang gugur syahid demi mempertahankan aqidah yang suci sehingga membawa kepada penghijrahan mereka ke Habsyah dan seterusnya ke kota Madinah demi mencari redha Allah dan menegakkan Islam di muka bumi ini selaku ad-din yang mulia.

Meskipun dihadapkan dengan pelbagai faktor dagangnya Islam pada zaman itu,namun faktor terbesar ialah fator aqidah yang saling berlawanan dengan jahiliyyah dan kekufuran. Sedang Islam itu mengajak kepada akidah yang benar lagi selamat,jahiliyyah dan kekufuran pula kepada menyekutukan Allah dan mengingkariNya.

Generasi Al-Quran yang dididik oleh Rasulullah S.A.W telah berlalu. Kerja-kerja mereka telah selesai. Segala kepincangan ummah telah berjaya diatasi dan diperbaiki. Namun selepas itu Daulah Islamiyyah jatuh satu persatu,yang terakhirnya kejatuhan Empayar Uthmaniyyah di Turki. Pengaruh sekularisme yang ditaja oleh penjajah mula bertapak di sini lalu mula menjalar akarnya ke negara-negara Islam yang lain. Maka jadilah Islam itu kembali dagang atau asing untuk kali yang keduanya.

Secara ringkasnya kesan-kesan yang timbul akibat dagangnya Islam buat kali kedua adalah sebagaimana berikut : -

  • Akidah umat Islam sudah tidak berfungsi dengan betul akibat pengaruh agama selainnya.
  • Kejahilan umat Islam baik daripada segi tasawwur,tuntutan mahupun penghayatannya.
  • Mereka mula mengabai dan melupakan peringatan Allah Taala.
  • Al-Quran hanya diambil separuh dan ditinggalkan separuh yang lain.
  • Penyakit cintakan dunia dan takutkan mati menular dalam komuniti umat Islam.
  • Perpecahan dan sifat dengki sesama Islam menjadi permainan harian.
Tidakkah dicita-citakan untuk memastikan Islam itu tidak menjadi asing kepada umat Islam secara khususnya dan bukan Islam umumnya? Jesteru apakah persediaan juga tindakan sewajibnya?

Kewajiban yang wajib dilaksanakan oleh setiap individu yang mengaku cintakan Islam ialah dengan : -

  • Memahamkan Islam itu kepada masyarakat sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W. dan para sahabat. Hanya Islam yang dapat menyelamatkan manusia daripada kebatilan juga kesesatan selari dengan kehendak Al-Quran dan As-Sunnah.
  • Melaksanakan didikan bagi melahirkan Muslim yang komited dengan Islam sehingga hujung hayatnya.
  • Melaksanakan jihad dari semua sudut agar setiap individu Muslim terangkat dari kerendahan kepada ketinggian.
  • Melaksanakan setiap pekerjaan perlulah secara berkumpulan atau berjamaah bukan hanya pekerjaan individu semata.
  • Menanamkan di dalam diri bahawa dengan kesedaran dan semangat semata tidak akan melahirkan mereka yang bekerja untuk Islam sepanjang hayat. Kerana ia bisa hilang bila bertembung dengan ujian pada perjalanan dakwah. Maka sulamilah ia dengan tarbiyah.
Ingatlah,medan dakwah dan bekerja untuk Islam adalah sesuatu yang dimuliakan oleh Allah S.W.T. Begitu juga mulianya mereka yang berada di landasan ini. Ia sebagai bekalan bila mengadap dan bertemu Allah di akhirat kelak.

Wednesday, February 17, 2010

Makna InsyaAllah...

Diriwayatkan bahawa pada suatu hari beberapa orang penduduk Mekah datang berjumpa dengan Nabi S.A.W untuk bertanyakan mengenai hal Roh,kisah Ashabul Kahfi & kisah Dzulkharnain. Nabi lalu menjawab, "Datanglah pada esok pagi agar aku dapat menjawabnya, " .

Keesokan harinya wahyu tidak turun kepada Nabi S.A.W hatta baginda gagal menjawab soalan-soalan yang telah dikemukakan itu. Dan tentu sahaja kegagalan ini menjadi bahan cemuhan orang-orang kafir.

Ketika itu turunlah ayat 23&24 dari Surah Al-Kahfi yang menegur perbuatan baginda itu.

" Dan janganlah kamu mengatakan terhadap sesuatu, ' Sesungguhnya aku akan mengerjakan yang demikian itu pada esok ' , kecuali (dengan menyebut) ' InsyaAllah ' . Dan ingatlah kepada Tuhanmu jika kamu lupa dan katakanlah ' Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada ini ' . "

Perkataan ' InsyaAllah ' membawa erti jika Allah mengkehendaki. Ini menunjukkan bahawa kita sebagai manusia terbatas daripada mengetahui apa yang bakal berlaku pada masa ke depan. Jika kita sebagai makhluk punya rencana atau perancangan,Allah pula sebagai khalik punya segala kuasa. Dengan demikian ucapan ' Insyaallah ' menunjukkan kepada kerendahan hati kita sebagai seorang hamba dan sedar dengan segala kekuasaan Allah terhadap makhlukNya. Atas dasar itulah Nabi S.A.W sendiripun ditegur oleh Allah S.W.T bila alpa daripada mengucapkan yang demikian.

Sayangnya,sebahagian daripada kita sering melupakan peranan juga kekuasaan Allah ketika hendak mengerjakan segala sesuatu. Sebahagian daripada kita pula malah secara keliru mengamalkan ' InsyaAllah ' untuk melepaskan dan mengelakkan diri daripada sesuatu.

Tatkala kita diundang untuk menghadiri sesuatu majlis,kita melafazkan ucapan ' InsyaAllah ' bukan dengan penuh keyakinan bahawa Allah Taala itu tempat segala kekuasaan tetapi sebagai cara bermuslihat untuk tidak kita menghadirinya. Dalam erti kata ' InsyaAllah ' itu sebenarnya bagi kita hanya ibarat satu alat untuk kita mempertahankan diri dari melaku dan memenuhi segala sesuatu.

Yang sebenarnya dituntut ialah ketika kita dijemput atau berjanji dengan seseorang kita menuturkan ' InsyaAllah ' lalu berusaha memenuhi dan menunaikannya. Andai tiba-tiba datang halangan seperti sakit dan sebagainya,lalu kita uzur daripada melaksanakannya maka disinilah letaknya kekuasaan Allah. Disinilah baru berlakunya makna ' InsyaAllah ' dalam erti kata yang sebenarnya.

Sunday, February 14, 2010

Ada Apa Dengan 14 Februari ???

Salamullahi 'Alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh...

Malam ini,diri aku terdetik untuk menulis mengenai tarikh 14 Februari kerana ada sesuatu yang ingin aku kongsikan bersama semua. Mungkin semua sudah sedia maklum mengenai perkara yang akan aku kongsikan ini,tetapi mungkin sebagai tazkirah atau peringatan kita bersama.

Sambutan Tahun Baharu Cina : Ini antara sambutan yang disambut pada tarikh 14 Februari setiap tahun. Meskipun dinyatakan bahawa tarikh ini disambut sempena permulaan tarikh baharu dalam kalendar masyarakat Cina,tetapi adakah ia hanya sekadar adat tanpa melibatkan unsur-unsur agama di dalamnya? Untuk maklumat lanjut mengenai Tahun Baharu Cina kalian bolehlah ziarah ke laman wikipedia .

Dan bagaimana pula hukumnya bila kita sebagai seorang Islam turut meraikannya walau hanya sekadar ucapan 'Selamat Tahun Baharu' kepada mereka-mereka yang berbangsa Cina ini atas dasar keharmonian dan perpaduan termasuk 'Rumah Terbuka Malaysia'  sesuai dengan konsep 1 Malaysia?

Dalam satu garis panduan yang telah dikeluarkan oleh JAKIM mengenai hukum seorang Islam menghadiri & turut merayakan perayaan agama lain menyatakan bahawa hukumnya menjadi harus @ haram mengikut keadaan berdasarkan beberapa pendapat & dalil. Untuk bacaan penuh bolehlah ziarah ke laman JAKIM . Dan selepas itu bolehlah kalian merujuk & menayakan hal ini kepada yang lebih arif,kerana diri ini terlalu kerdil untuk mencoretkan hukum mengenainya ditambah dengan sedikit kesibukan harian yang membataskan penelitian & pembacaan dalam hal ini.

 Sambutan Hari Valentine / Kekasih : Ini perayaan ke-2 yang disambut pada tarikh ini. Diraikan oleh mereka yang bergelar pasangan kekasih,termasuk mereka yang beragama Islam saban tabun. Meskipun telah dinyatakan dengan jelas oleh para ulama' mengenai keHARAMANnya untuk kita sebagai seorang Islam menyambutnya tetapi asal-usul sebenar mengenai sambutan tarikh ini masih menjadi bahan perbincangan dan kajian. Tiada maklumat tepat boleh diberikan.

Kisah mengenai asal-usulnya terdapat dalam pelbagai versi. Antaranya disebut bahawa ia merujuk kepada seorang paderi yang bernama Santo Valentine yang mati dibunuh pada tarikh itu. Versi lain pula menyebut bahawa pada tarikh itu juga merupakan detik kejatuhan Islam di Sepanyol. Cuma aku ingin menambah berbicara mengenai perkataan VALENTINE . Perkara ini aku terbaca dalam satu artikel berbahasa Indonesia.

Antara petikan dalam artikel itu dinyatakan lebih kurang begini :

" Valentine merujuk kepada perkataan latin yang membawa maksud Yang Maha Kuat atau Yang Maha Kuasa atau Yang Maha Perkasa... " .

Jadi bolehlah aku katakan sekiranya seseorang itu menyatakan kepada kekasihnya ( Would you like to be my valentine? ), bukankah ia sebenarnya telah merosakkan akidah kita? Menyekutukan Allah dengan menyamakan makhluk dengan Tuhan? Sama seperti menyembah berhala pada zaman jahiliyyah?

Nah,jika benarlah perkatan VALENTINE itu sememangnya membawa maksud sedemikian,begitu banyak umat Islam yang sudah batal syahadahnya bila menuturkan kata-kata itu. Ibadat yang dilakukan tidak terpakai dan menjadi sia-sia andai akidah sendiri sudah terbatal.

Begitu licik sekali perancangan musuh yang bernama Kristian mahupun Yahudi. Kita dimurtadkan dalam keadaan kita sendiri tidak menyedarinya.

Jadi kepada semua awaslah..!!!

Kesimpulan yang boleh aku nyatakan berdasar pembacaan dan kajianku terhadap isu ini serta isu-isu selainnya golongan musuh cuba merosakkan akidah kita melalui penggunaan perkataan & nombor. Isu-isu mengenai freemason,kristianism dan seumpamanya kebanyakannya melibatkan kedua-dua unsur ini (PERKATAAN & NOMBOR ) . Berhati-hatilah terhadap hal-hal sebegini;walau nampak kecil tapi impaknya besar.

Aku tinggalkan kalian dengan menukilkan kata-kata daripada Imam Ibnul Qayyim Al-Jauzi :

"Memberi selamat atas acara ritual orang kafir yang khusus untuk mereka,telah disepakati bahawa ianya haram. Seperti memberi selamat untuk hari raya & puasa mereka dengan mengucapkan 'Selamat Hari Raya' dan seumpamanya. Bagi yang mengucapkannya,meskipun tidak sampai kepada kafir paling tidak itu merupakan perbuatan yang haram. Bererti mereka telah memberi ucapan selamat dalam menyekutukan Allah. Bahkan perbuatan itu lebih besar dosanya di sisi Allah & lebih dimurkai dari pemberi selamat pada meminum arak & membunuh. Begitu ramai yang kurang mengerti mengenai agama terjerumus dalam satu perbuatan tanpa menyedari buruknya perbuatan tersebut. Dia sebenarnya telah menyiapkan diri untuk mendapatkan kemarahan dan kemurkaan Allah " .

Selamat berenung, berfikir serta beramal...

Thursday, February 11, 2010

Wanita Bagaikan Hilang Rasa Malunya...

Salamullahi 'Alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh...

Tadi sedang sibuk menyiapkan tugasan masa cuti,pena di tanganku berhenti menulis seketika. Alunan nasyid dari kumpulan Hijjaz dengan judul 'Dilema' membuatkanku berfikir sejenak. Antara bait-bait lirik yang menarik perhatianku :

Lihatlah panorama dunia
Wanita bagaikan hilang rasa malunya
Maruah yang menjadi maharnya
Tergadai sia bagai tiada berharga

Di manakah budinya di manakah akhlaknya
Sungguh pilu dan sayu mengenangkannya
Santun tiada lagi nafsu memimpin hati
Kehormatan diri tidak dipeduli

Memoriku berputar mengenangkan satu peristiwa yang berlaku beberapa minggu yang lalu...

Dalam minggu itu, habis semua rakan yang tinggal bersamaku dihidapi demam selsema. Mungkin perubahan cuaca memungkinkan semua ini terjadi tambahan pula bilamana beberapa orang rakan yang lain dan beberapa orang pensyarah di tempat pengajianku turut dihidapi masalah kesihatan yang sama.

Petang itu,dengan bermotorsikal aku keluar dari rumah. Hajat di hati ingin ke sebuah gerai untuk membeli moi sup. Maklumlah,bila demam lidah rasa hendak makan aneka makanan yang pelik dan lain dari menu kebiasaan.

Dalam perjalanan,motorsikalku bergerak perlahan melintasi dua orang gadis yang sedang berjalan di tepian jalan . Rasa-rasanya aku mengenali kelibat dua orang gadis ini. Ya,mereka ini pelajar poly-tech yang turut menyewa hanya selang beberapa buah rumah dari rumah tempatku menyewa.

Dengan wajah yang boleh dikatakan ayu selaku gadis melayu,pakaian ketat di badan dengan tiada bertudung,salah seorang dari mereka menegurku. Berkata si gadis, " Hai abang seorang saja petang-petang begini? Nak tumpang motorsikal abang boleh? " .

Aku hanya berlalu pergi tanpa sebarang bicara atau jawapan terhadap petanyaannya itu. Otakku ligat berfikir,jika tidak salah amatanku si gadis yang sama pernah dihantar pulang oleh seorang pemuda ke rumah sewanya pada waktu malam ketika aku melalui hadapan rumahnya bilamana aku pulang daripada bermain futsal.

Dunia oh dunia...Benarlah dirimu sudah semakin tua...


Suatu ketika yang lain,aku menemani seorang rakan untuk membeli tiket bas. Aku hanya menunggu di tempat parking sementara dia ke kaunter tiket. Dalam pada itu sempatlah aku bersembang dengan seorang mat motor @ mat rempit yang kebetulan memarkirkan motorsikalnya di sebelah motorsikalku. Katanya dia datang untuk mengambil kawan yang akan sampai tidak beberapa lama lagi dari Melaka dengan menaiki bas.

Dalam rancak bersembang,melintas di hadapan kami seorang gadis yang berpakaian ketat. Sekadar gurauan,aku berkata kepadanya, " Bang, tak nak tackle ker ? " . Spontan dia menjawab, "Gadis macam ini sesuai untuk dibawa jalan jer..." " Ha, gadis yang macam ni baru sesuai dibuat calon isteri..!! " sambungnya lagi sambil menunjuk kepada seorang gadis berjubah dan bertudung labuh yang kebetulan turut lalu di situ.

Aku hanya tersenyum kepadanya. Perbualan kami ditamatkan bila rakanku berjalan menghampiriku dan kawan yang ditunggu-tunggu si rempit tiba...

Satu perkara lagi yang tidak mungkin akan aku lupakan ialah perbualanku dengan seorang ustaz yang pernah menjadi guruku. Hampir saban minggu boleh dikatakan dia ke Kuala Lumpur untuk menyampaikan kuliah dan mencari dana untuk sekolah.

Antara butir bicaranya kepadaku pada suatu petang, " Masrul,anta nanti kalau nak cari isteri yang orang kl,habaq kat ustaz dulu.." . "Awat pula ustaz? " tanyaku kehairanan. " Bolehlah ustaz tolong rekomenkan dan cari kat anta.. " jawabnya diiringi senyuman. " Tapi kalau ustaz nak cari kat ana,ana nak yang comel dan bertudung labuh.. " kataku menyambut gurauannya itu. "Pasai tu ustaz suh habaq kat ustaz dulu. La ni,yang bertudung labuh pun belum tentu boleh pakai kena siasat bagi abis dulu. Ustaz banyak informer dan kaki,jadi bolehlah ustaz tolong risikkan dulu.. " jawabnya untuk kata-kataku itu.

Butir bicara itu sudah beberapa tahun berlalu,tetapi kini aku mula mengerti maksud kata-katanya itu. Dewasa ini,mungkin bukan hal yang menghairankan bilamana pelajar yang belajar sekular terlibat dengan seks bebas dan mengandungkan anak anak di luar nikah,tetapi bila kes itu melibatkan pelajar yang belajar agama,ia sudah menjadi suatu hal yang menghairankan.

Dimanakah nilai agama yang menjadi benteng pertahanan diri? Atau sekadar belajar untuk mendapatkan segulung sijil tetapi ilmu yang ada tidak melekat di hati lalu tidak diamalkan?

Aku dihadapkan dengan beberapa peristiwa lagi yang sememangnya tidak mencerminkan peribadi wanita yang belajar agama. Beberapa kali mereka yang berjubah dan bertudung labuh menghadiahkanku kuntuman senyuman bila bertemu di jalanan. Dalam pada itu juga,bila mereka berjalan di jalanan,tudung yang ditiup angin yang melekap ditubuh hanya dibiar melekap tanpa ingin ditarik kembali. Aku selaku manusia normal yang dikurniakan nafsu,terkadang tewas juga aku untuk menyaksikan wayang percuma ini. Ya Allah Engkau ampunkan segala dosa dan keterlanjuranku ini...

Buat kaum hawa,bukan niatku mencoret tulisan ini untuk merendahkan martabatmu sebagai wanita. Sekadar perkongsian untuk renungan kita bersama. Tempatmu mulia di sisi lelaki kerana diciptakan Adam & Hawa saling memerlukan. Andai maruah menjadi taruhan si hawa untuk dipertahankan,si adam pula selaku perisai & pelindungnya.

Pesanku buat diri sendiri dan kaum adam yang lain,usah dirosakkan maruah kaum hawa. Dan pesanku pula buat kaum hawa,jagalah maruahmu itu sebaik mungkin. Renungilah maksud firman Allah S.W.T dalam Surah Annur ayat 26 yang bermaksud :

" Wanita-wanita yang keji untuk lelaki-lelaki yang keji , Dan lelaki-lelaki yang keji untuk wanita-wanita yang keji (pula) , Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik , dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula) , Mereka (yang dituduh) adalah suci dari apa yang dituduhkan mereka (yang menuduh) . Bagi mereka keampunan daripada rezeki yang mulia (syurga) . "

Aku akhiri coretan ini dengan bait-bait seterusnya daripada lagu 'Dilema' yang mengungkap 1001 maksud di sebaliknya untuk renungan bersama :

Oh wanita kembali menginsafi
Kepada asal fitrah kejadianmu
Diciptakan untuk dihormati
Sentiasa diredhai Tuhan Pencipta
Kembali kepadaNya juga pada RasulNya
Pasti dihadirkan taufik & hadayahNya
Wanita...

Kembalilah ke arah kemuliaan
Contohi peribadi Ummul Mu'minin
Rasulullah dijadikan suami
Tertawan kerana keluhuran pekerti
Bukan kerana harta bukan kerana nama
Tetapi kerana budi yang disanjungi
Kembalilah...

Wanita perhiasan dunia
Bagai kilau permata di antara kaca
Sayangnya makin pudar cahaya
Hingga tiada lagi beza di antaranya

---;-<@---;-<@---;-<@


Wednesday, February 10, 2010

Elemen Tarbiyah Dalam Kemantapan Dakwah

Tarbiyah merupakan satu uslub terbaik yang mampu bergandingan dengan fitrah manusia yang dikemukakan secara langsung (percakapan) atau secara tidak langsung (qudwah@ikutan) . Atas dasar itu jugalah kita lihat bagaimana tarbiyah telah memainkan peranan yang begitu besar dan penting dalam generasi yang dibentuk oleh Rasulullah S.A.W iaitu generasi para sahabat.

Harakah Islamiyyah sedunia juga berpandangan bahawa syarat utama untuk mencapai kemenangan sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah S.W.T adalah dengan memantapkan tarbiyah dari beberapa sudut atau elemen. Sudut-sudut atau elemen-elemen tersebut sebagaimana berikut:-

1) Tarbiyah Ruhiyyah

Didiklah jiwa supaya melazimi diri dengan ibadat sehingga merasa kelazatan dalam beribadat serta mencapai kekuatan hati melaluinya. Senantiasa muhasabah dan muraqabah dalam gerak kerja yang baik,sensitif dengan isu-isu dosa dan mungkar serta sabar menghadapi ujian dan kekalahan.

Natijah: Istilah futur (kecewa) tidak akan sesekali merajai jiwa bagi seorang pendakwah.

2) Tarbiyah Thaqafiyyah

Tanamlah diri dengan budaya membaca dengan tidak dihadkan kepada bentuk bahan-bahan haraki semata. Lazimi diri untuk menghadiri dan mendekati para ilmuwan serta cendiakawan dengan tidak dihadkan kepada perbincangan dan persidangan berbentuk Islam semata. Biasakan diri untuk turut mendalami tamadun dan agama selain Islam.

Natijah: Bila pendakwah dihadapkan dengan sesuatu isu di luar lingkup pengajian Islam,dia tidak mudah menggelabah dan tenang menjawab sesuatu persoalan yang dikemukakan.

3) Tarbiyah Harakiyyah

Lengkapkanlah diri dengan ilmu teknik pengurusan Islam. Dalamilah juga ilmu teknik pengurusan moden selagi ianya tidak melanggari batas-batas yang telah ditetapkan syariat. Lalu sulamilah ia dengan adab-adab berjamaah dan bermasyarakat.

Natijah: Orang yang bidangnya agama tidak akan dicop sebagai tidak berkemampuan untuk mentadbir dan mengurus dengan baik bertambahan jika dalam komuniti yang besar.

4) Tarbiyah Siyasiyyah

Tingkatkanlah pengetahuan dan pembacaan dalam perkembangan bidang politik Islam juga selain Islam. Dalamilah konsep khilafah islamiyyah dan kepimpinan ulama' yang lebih fleksibel dan praktikal kepada dunia semasa.

Natijah: Konsep kerajaan Islam mampu diperjelas dan dilaksanakan dengan lebih mudah.

5) Tarbiyah Jam'ieyyah

Kenal pasti dan kembangkanlah potensi ahli-ahli supaya lebih matang dalam sikap,tindakan dan keputusan. Ransanglah ahli untuk berfikir secara lebih kreatif dan kritis,berkeyakinan dengan diri dan berfikiran terbuka dalam setiap situasi.

Natijah: Sesuatu perkara akan mudah untuk diperbincang dan diselesaikan walau di dalam keadaan genting sekalipun.

6) Tarbiyah Badaniyyah

Latihlah diri untuk lebih kental dan tahan lasak,kerana jasmani yang lemah mampu mencacat dan membataskan tugas dakwah. Biasakanlah diri untuk mengikuti tamrin-tamrin dan kem-kem yang mampu meningkatkan kekuatan fizikal dan minda.

Natijah: Diri pendakwah sudah bersedia dan dipersiapkan jika diserang oleh musuh dengan kekuatan. Tempat yang aman,tidak mungkin selamanya aman.

7) Tarbiyah Usrah Islamiyyah

Carilah pasangan hidup yang selari dengan kehendak Islam. Pastikanlah dia yang dipilih sanggup susah dan senang dalam perjuangan si pendakwah. Dialah juga yang akan menjadi pencorak generasi pendakwah yang akan datang. Kerana dari keluarga Islam akan terbentuklah komuniti masyarakat Islam yang dikehendaki.

Natijah: Pendakwah akan lebih bersemangat jika disisinya seorang yang memahami,menyokongnya dan membantunya. Ingatlah benih yang baik akan menumbuhkan pohon yang lebat buahnya.

Demikian secara ringkas beberapa elemen yang perlu diperkasakan dalam memantapkan diri dengan tarbiyah untuk tugas dakwah. Jadi usah biarkan salah satu elemen ini terlepas pandang dari mata kita untuk ditarbiahkan dengan sebaik mungkin. Kerana bila elemen itu lemah pada penguasaannya,akan lebih mudah digunakan oleh musuh sebagai senjata untuk melawan kita.

Renung-renungkanlah untuk kebaikan dan manfaat bersama...

Monday, February 8, 2010

Bila Ulama' Dijadikan Bahan Cacian...

Apa komen dan perasaan anda bila melihat gambar ini?


Maklumat lanjut mengenainya sila klik pada gambar .

Wajah-wajah diatas tidak perlu diperkenalkan lagi kerana anda sendiri sudah mengenali gerangan empunya wajah...

Cuma aku berasa begitu marah & sedih dengan tindakan si penulis yang menyiarkan gambar ini dalam blognya...

Kerana salah seorang darinya bukan sahaja menjadi idolaku bahkan idola jutaan insan lain...

Menjadi idola kerana peribadinya bukan kerana pangkat dan pengaruhnya...

Seorang yang berperibadikan ISLAM dalam setiap aspek kehidupannya...

Bukan sekadar diri dan keluarga mahu diISLAMkan...

Bahkan masyarakat dan rakyat mahu diISLAMKAN...

Kerana itulah tuntutan seorang hamba Allah di atas muka bumi ini...

Menjadi khalifah di muka bumi ini dengan petunjuk Ilahi...


Kepada mereka yang memusuhi ulama' ingatlah...

Bila dirimu memusuhi seorang ulama...

Dirimu secara automatiknya menjadi musuh Allah...

Jangan cuba untuk mempolitikkan agama...

Kerana politik itu sebahagian dari agama...


Kepada mereka yang sayangkan ISLAM dan ulamanya...

Ayuh bangunlah....!!!

Jangan biarkan ISLAM ditindas...

Usah biarkan ulama'nya menjadi bahan ejekan...

Pastkan ISLAM kembali gemilang...



Saturday, February 6, 2010

Bergeraknya Gunung-Ganang...

Cuba kita amati dan perhati kewujudan gunung-ganang,apakah ia hanya diam kaku dan statik di tempatnya?

Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Naml ayat 88 yang bermaksud :

" Dan kamu melihat gunung-ganang itu ,kamu sangka ia tetap di tempatnya,padahal ia bergerak cepat seperti bergeraknya awan. ( Demikianlah ) perbuatan Allah yang membuat dengan kukuh setiap sesuatu , " .

Di dalam banyak kitab tafsir,para mufassirin berpendapat bahawa gunung-ganang sememangnya bergerak. Akan tetapi jika dengan sekali amatan,memang kita sukar melihatnya. Ini kerana jirim-jirim yang berkumpul dalam bilangan yang besar dan banyak dalam hal keadaan ianya saling bertempek atau bersatu jika ia bergerak sudah tentulah pergerakannya itu laju seperti lajunya gerakan awan lalu terlepas dari pandangan mata.

Pandangan ini ditolak bulat-bulat oleh para sainstis moden sehinggalah pada tahun 1915 apabila buat pertama kalinya dalam sejarah,seorang sainstis dari Jerman , Alfred Wegener tampil dengan teori 'Continental Drift' iaitu apungan benua dengan mengemukakan yang gunung-ganang mahupun benua-benua bergerak secara perlahan-lahan.

Gerakan gunung-gunung ini disebabkan oleh gerakan kerak bumi. Kerak bumi ini boleh diibaratkan seperti rakit yang terapung di atas mantel astenosfera yang bergerak. Atau boleh juga kita sebut seperti iceberg yang terapung di atas air laut.

Menurut beliau, benua-benua yang ada pada hari ini pada asalnya saling bergabung. Disebabkan peredaran masa,jirim-jirim yang ada padanya telah bergerak dalam arah yang berbeza-beza sehingga terpisah lalu membentuk benua.

Kajian geologi mendapati bahawa pergerakan benua bervariasi antara 10cm per tahun secara terus-menerus. Oleh yang yang demikian,geografi bumi berubah secara perlahan tanpa kita sedari.

Malangnya, teori Alfred ini diketawakan oleh sainstis lain kerana dianggap pelik dan aneh . Selepas lima tahun kematian beliau barulah teori ini mula diterima oleh komuniti sainstis dunia. Maka bermula dari tahun 1980,teori ini telah mula diguna pakai dengan beberapa penambahbaikan.

Dari sini mula timbulnya teori-teori baru mengenai ilmu geologi seperti kejadian gempa bumi,gunung berapi dan sebagainya. Dan yang paling menakjubkan,dengan perkembangan teknologi yang ada pada hari ini,jika dicantumkan kesemua benua-benua yang ada di atas peta ia mewujudkan satu cantuman yang berpadanan antara satu benua dengan benua yang lain.

Benarlah segala yang di dalam Al-Quran yang menjadi mukjizat,yang kekal sehingga hari kiamat.

Rujukan:
1.Kitab-kitab tafsir (versi Maktabah Syamilah)
2.Majalah Infiniti ( Februari 2010)

Thursday, February 4, 2010

Hakim & Mahkamah...

Salamullahi 'Alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh..

Esok kolej aku akan memulakan cuti pertengahan semester. Dalam pada itu,banyak tugasan yang perlu disiapkan sepanjang masa cuti ini. Pening juga memikirkan semua benda ini tambahan pula bilamana antara tugasan itu ada tidak berkaitan dengan bidang yang aku pelajari selama ini.

Ya Allah permudahkanlah segala urusanku...

Pengajian Malaysia,ini antara tugasan yang perlu aku siapkan. Kalau dulunya,kalau ditanya mengenai Malaysia aku hanya tahu tarikh kemerdekaannya sahaja. Hari ini banyak benda baru yang aku perolehi. Dari meluat kini timbul minat untuk aku mengkaji dan mendalaminya. Dan antara banyak-banyak yang sudah aku pelajari ialah struktur badan kehakiman di negara yang kita cintai ini. Tentang jenis mahkamah,sistemnya dan bagaimana sesuatu kes itu dikendalikan dan dengan cara apa ia boleh dipindah dari satu mahkamah ke mahkamah yang lain. Paling tidak pun, jika satu hari ada orang bertanyaku,tidaklah aku termanggu-manggu macam orang pedalaman baru masuk bandar.

Terlanjur berbicara mengenai mahkamah,dalam sehari dua ini hangat kita bercakap mengenai perbicaraan kes liwat DSAI selaku defenden di mahkamah. Apa lagi yang boleh aku katakan mengenai kes berprofil tinggi ini? Hatta mendapat liputan meluas semua media massa. Paling banyak,disiarkan gambar penampilan terbaru si responden yang saban hari disiarkan. Kalian pun mesti sudah nampak perubahannya,jadi tidak perlulah aku menyebutnya. Masing-masing boleh menilainya sendiri.

Aku lebih berminat untuk melihat dan memerhatikan sahaja bagaimana perjalanan kes ini dikendalikan. "KEADILAN" bukankah itu asasnya bagi setiap badan kehakiman? Jadi harapku,biarkan perbicaraan ini berjalan dengan telus dan tulus tanpa didalangi oleh mana-mana pihak yang punya motif tersendiri.

Apa sahaja keputusan akhirnya nanti,semua pihak perlu menerimanya. Biar keputusan yang akan dibacakan oleh hakim kelak dibuat atas dasar kebenaran bukannya paksaan mana-mana pihak. Kepada mereka yang menjadi hakim,ingatlah tanggungjawabmu itu berat. Jika boleh aku katakan beginilah kurangnya, "Hakim itu sebelah kakinya di syurga sebelah kakinya lagi di neraka...Jika kebenaran yang kamu bela,syurgalah tempatmu & jika kesalahan yang kamu bela,nerakalah tempatmu..." . Maka fikir-fikirlah tempat mana yang ingin kamu masuki...

Kepada mereka yang diadili, ingatlah jika di mahkamah dunia kamu mungkin terlepas dengan pelbagai tipu daya dan muslihat tapi di mahkamah Allah mampukah kalian?

Aku petik kembali kata-kata si responden di dalam blognya satu ketika dahulu,

"Tidak terkata.. Jika ditakdirkan kes ini digugurkan di mahkamah dunia, tidak mengapa, saya reda.Kerana kelak semasa di Mahsyar (mahkamah Allah) pasti akan dibicarakan juga. Sebagai hamba Allah yang kerdil, saya hanya mampu berusaha, berdoa dan berserah sepenuhnya kepada Allah SWT sahaja, kerana Dialah yang Maha Adil lagi Maha Berkuasa, " . (ziarah sini)

Kepada kedua-dua pihak:yang menuduh dan yang dituduh,renunglah kembali kata-kata ini. Di pihak yang manakah kalian? Bak kata si responden di setiap kali akhir tulisannya "Yang Hak Pasti Berdiri,Yang Batil Pasti Jatuh" .

Buat yang terakhirnya,aku sentiasa doakan agar keadilan itu senantiasa di pihak yang benar. Aku akhiri coretan kali ini dengan memetik sepotong firman Allah di dalam Surah Yaasin : 65 yang bermaksud:

" Pada hari itu Kami kuncikan mulut-mulut mereka dan Kami (berikan peluang) berkata-katalah tangan-tangan mereka (atas segala kesalahan mereka ) dan bersaksilah kaki-kaki mereka atas apa yang mereka kerjakan "

--->

Monday, February 1, 2010

Kisah Anak Harimau...

Salamullahi 'Alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh...

InsyaAllah pada coretan kali ini aku ingin berkongsi sebuah kisah; kisah anak harimau.

Pernahkah kalian mendengar kisah seekor anak harimau yang dibesarkan oleh kambing? Entahlah ini kisah betul@dongeng,tapi mungkin sesuai untuk tatapan kita semua. Kepada si ibu dan si bapa yang saban malam menidurkan anak dengan bercerita,mungkin kisah ini boleh dijadikan koleksi kisah-kisah night tale anda.

Arakian tersebutlah akisah,pada satu hari seekor anak harimau telah tersesat jalan dan terpisah dengan keluarganya. Maka berjalanlah ia ke sana dan ke sini sehingga hari menjelang malam. Akhirnya ia telah sampai di sebuah kandang kambing di dalam sebuah kampung. Menggigillah ia dalam keadaan gelap dan sejuk di luar kandang.

Melihat keadaan si anak harimau,timbullah rasa simpati si ibu dan si bapa kambing. Maka diajaklah tidur bersama mereka. Bermula detik itu,bermulalah hidup baru si anak harimau bersama keluarga kambing.

Adapun anak-anak kambing yang lainnya tidak dapat menerima kehadirannya yang jauh berbeza daripada mereka. Ia disisihkan daripada sebarang aktiviti harian mereka. Jika ia cuba menghampiri kawanan anak kambing maka ia akan ditanduk dengan tanduk mereka yang baru hendak tumbuh.

Sedih di hatinya bukan kepalang. Hendak pergi,tidak tahu mana hendak ditujui. Tambahan pula,si ibu dan si bapa kambing begitu baik terhadapnya. Lalu mengeluhlah ia di dalam diri, "Alangkah bagus sekiranya aku juga bertanduk,bolehlah aku menyondol mereka jika mereka mengganguku..." . Dengan sayu,ia hanya memerhatikan dari jauh kawanan anak kambing meragut rumput.

Tiba-tiba dari celah semak,muncul seekor harimau dewasa. Mengaumlah ia lalu bertempiran larilah anak-anak kambing. Si anak harimau turut sama melarikan diri. Melihat kelibat si anak harimau,maka dikejarlah ia oleh harimau dewasa. Takutlah anak harimau kerana bimbang dijadikan santapan harimau dewasa.

"Mengapa engkau lari?" tanya harimau dewasa. "Saudaraku semuanya lari,aku takut engkau juga membahamku!" jawab anak harimau. "Hahaha...Mereka bukan saudaramu. Lihat sahaja dirimu. Engkau seperti aku. Ngaumanmu juga bisa menakutkan mereka," balas harimau dewasa. "Aku juga bisa mengaum? Ajarkanlah aku...Ajarkanlah aku...!" teriak anak harimau dengan nada tidak sabar.

Kemudian si anak harimau pulang ke kandang dengan hati yang riang. Di sana sudah menanti kawanan anak kambing. Tiba-tiba dari kalangan mereka seekor yang besar menyondol anak harimau. Ia hanya tersenyum dan menyeringaikan giginya sebelum mengaum. Maka bertempiran larilah anak-anak kambing. Puaslah hati si anak harimau.

Sebenarnya kisah yang aku kongsikan kali ini ada kaitannya dengan tulisan-tulisan aku sebelum ini. Tentang realiti kehidupan kita sebagai seorang Islam yang dijajah dan diinjak juga ditindas.

Tatkala saban hari kita atau saudara seagama ditindas oleh musuh-musuh,bangunlah beberapa kerat pemimpin yang mengatakan jika kita memiliki kekayaan dan teknologi seperti mereka barulah kita tidak akan diinjak.

Persoalannya,benarkah apa yang dilaungkan itu? Adakah kehormatan akan kita peroleh semula jika kekayaan dan kecanggihan kita miliki?

Renunglah semula zaman Rasulullah SAW dan para sahabat. Adakah mereka dihormati kerana kekayaan? Sedang daripada kalangan sahabat sendiri ada yang hidup dalam kemiskinan.

Jawabnya adalah kerana iman dan akhlak yang tinggi. Inilah hakikatnya. Iman itulah sebenarnya ngauman si anak harimau. Sepertimana tidak memerlukan tanduk untuk si anak harimau menewaskan anak kambing.begitulah harta bukan elemen terpenting untuk kita menewaskan musuh. Bahkan elemen terpenting itu sudah wujud dalam diri kita sendiri;iaitu IMAN.

Dewasa ini,kita sudah melihat begitu ramai antara orang Islam yang berjaya dalam hidup mereka tetapi berapa ramai yang masih kekal dengan Islam mereka? Dengan gaya hidup bertuhankan musuh Islam,itu belum dicampur dengan pernindasan terhadap saudara seagama. Inikah kekayaan dan kemajuan yang kita inginkan supaya setanding dengan musuh?

Ingatlah kerosakan yang ditimbulkan oleh eleman dalaman lebih pedih dan berbisa dari yang ditimbulkan elemen luaran. Tembok yang kita bina untuk mempertahankan diri dari musuh telah dirobohkan oleh mereka yang berkubu disebalik tembok itu sendiri.

Jadikan keimanan sebagai ngauman si anak harimau yang bisa menakut dan menggentarkan musuh. Kekayaan dan kemajuan pula sebagai kuku si anak harimau yang akan yang hanya dikeluarkan ketika si anak harimau mengaum untuk melawan musuh...

--->
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...