"Murid-murid sekalian, tahukah kamu bahawa di dalam Al-Quran semua ilmu ada diajar di dalamnya sehingga ilmu membuat roti canai pun ada..??" sebut Ustaz Nizam kepada anak-anak muridnya pada penghujung kelas tafsir pagi itu.
"Betulkah ustaz..??" soal salah seorang anak muridnya dalam keadaan tercengang.
"Ya... Jika kamu tidak percaya, balik nanti buka tafsir surah An-Nahl. Cari di ayat yang mana menyebutkan yang demikian. Minggu depan ustaz akan soal kamu..." balas Ustaz Nizam kepada murid yang bertanya.
Minggu depannya; ketika subjek tafsir...
"Ustaz, dah cari, tapi tak jumpa pun.. Ustaz tipu kami bukan..??" kata seorang murid dengan nada tidak berpuas hati.
"Ustaz tak tipu pun.. Betulkah kamu dah cari?" soal Ustaz Nizam kembali.
"Ya kami sudah cari. Cuba ustaz bacakan ayat itu kepada kami. Langsung tidak kami jumpa perkataan roti canai dalam surah itu.." kata murid yang lain pula.
Sambil tersenyum Ustaz Nizam membacakan ayat 43 daripada surah An-Nahl beserta maknanya :
" Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang-orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui, ".
"Nah anak-anak murid sekalian, bukankah pada penghujung ayat itu Allah Taala menyatakan supaya bertanya kepada orang yang mengetahui. Jadi jika nak tahu cara membuat roti canai maka bertanyalah tentang ramuan dan cara-caranya kepada si pembuat roti canai," jelas Ustaz Nizam.
"Ustaz ni, perkenakan kami rupanya..!!" sambut satu kelas.
Catatan Penulis :
Pembaca sekalian, meskipun ayat ini menerangkan perihal bertanya kepada para utusan Allah berkenaan hal-hal agama tapi para ulama' menjadikan ini dalil supaya kita bertanya kepada orang yang ahlinya jika kita tidak mengetahui. Jika hal berkenaan urusan akhirat, hendaklah dirujuk kepada ahli-ahli agama dan jika hal berkenaan urusan dunia pula, hendaklah dirujuk pada mereka yang pakar dalam bidang masing-masing.
Wallahu'alam.
1 comment:
yeah,
make sure you ask the right person :)
Post a Comment