Wednesday, July 6, 2011

DIA Memberi.. Kita Menerima..

Teringat kepada kisah seorang sahabat. Pendek ceritanya dia ini memang seorang yang suka berbuat maksiat tapi dalam masa yang sama sentiasa cemerlang dalam pelajaran. Sedangkan ustaz-ustaz selalu cerita, orang buat maksiat ini hati gelap, belajar pun payah dapat. Nampak berlawanan bukan?

Kalau orang bertanyaku mengapa terjadi sedemikian, jawapanku mudah sahaja. Bukankah Allah Taala itu bersifat Ar-Rahman? Semua makhluk Dia akan berikan tidak kiralah samada yang taat atau yang ingkar.

Tapi Ar-RahimNya? Siapa berani menepuk dada lalu berkata diri aku ini sudah merasai sifat Ar-Rahim bagi Allah ke atas diriku?

Bolehlah kita katakan segala pemberian yang baik yang kita dapat selama ini, itu namanya nikmat? Jika ya, berapa kerap kita bersyukur di atas setiap pemberianNya itu? Boleh jadi juga apa yang kita semua dapat selama ini,itu namanya ujian? Atau mungkin juga untuk menguji adakah kita ini bersyukur...??

Bila sebut bersyukur adakah memadai dengan menadahkan tangan ke langit lalu mengucapkan 'Alhamdulillah' ? Itu baru satu juzuk dari syukur iaitu lafzhi (percakapan). Juzuk qalbi (hati) dan fi'li (perbuatan) pula,adakah kita merakamkan rasa syukur? Setiap ibadat itu sendiri bergantung kepada 3 elemen ini hatta aqidah sendiri pun sama. Jika pincang satu elemen, sempurnakah segala amalan juga pegangan kita? Ibarat basikal tanpa roda juga tanpa pemegang mahupun rantai. bolehkah ia digerakkan dan dikawal dengan sempurna?

Begitu jugalah dalam konteks bersyukur. Jika seseorang itu mempunyai ilmu yang banyak tetapi dalam masa yang sama banyak bermaksiat kepada Allah,dia belum dikira bersyukur sekalipun dia menadahkan tangan ke langit lalu mengucapkan 'Alhamdulillah' bila mendapat kejayaan lalu berkekalan melakukan maksiat. Sama jugalah mereka-mereka yang menjual ilmu agama untuk habuan dunia. Kata-kata mereka mampu menarik ribuan orang untuk mendengar, tapi sayang bila tiadanya sifat ikhlas dengan ilmu, maka jadilah mereka itu orang-orang yang berdosa sekalipun apa yang mereka sampaikan itu benar.

Terlalu banyak misalan yang boleh diberikan untuk mengambarkan sifat orang yang tidak bersyukur. Tetapi coretan di atas mungkin cukup untuk sama-sama memuhasabahkan diri kita semua, adakah kita semua daripada kalangan orang-orang yang bersyukur? Tepuk dada tanya iman...

" Ya Allah, ku harapkan setiap pemberianMu itu semuanya nikmat. Jika ianya lautan ujian, selamatkanlah aku untuk mengharungi ujian itu hingga aku sampai ke seberang. Jangan tenggelamkan aku di dalamnya agar aku tidak kufur kepadaMu serta jadikan aku orang yang sentiasa bersyukur..."

Dan diri ini juga sebenarnya, mampukah aku amanah dengan ilmu yang ada..??


klik sini

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PaidVerts