Tuesday, March 1, 2011

Memori Itu Menyapa Kembali...

Suasana pagi di blok bangunan kelas dua tingkat yang terletak bersebelahan pepohon getah ini kelihatan 'tenang'. Para pelajar berada di kelas sendiri dengan guru subjek masing-masing. Cuma kelasku yang masih belum punya guru.

Aku dan seorang rakan sekelas sedang melepak di muka pintu hadapan kelas sendiri sambil mengintai-ngintai ke arah parkir tempat letak kereta guru.

Kata rakan kepadaku, "Nampak gaya, Ustaz Mansor tak masuk kelas kita hari ni.. Kereta dia pun tak nampak bayang lagi ni...".

Baru hendak mengiyakan kata-katanya itu, tiba-tiba kereta berwarna biru gelap bergerak masuk ke tempat parkir.

Balasku kepada rakan, " Hahahaha..mulut hang tak masin langsung, tengok tu ustaz dah sampai..".

Di dalam kelas...

Selepas menulis perengan pertama untuk insya' (karangan) yang telah dibincangkan pada minggu lepas di papan tulis, Ustaz Mansor berpusing mengadap kami; para pelajar.

"Ha Tok Batin... Sambung ayat kat papan tulis ni.." kata Ustaz Mansor dengan suara 'kuat'nya itu sambil mengetuk-mengetuk papan putih dengan pen marker.

"Kana huwa...Kana huwa..." hanya perkataan itu yang keluar dari mulut rakan sebelahku.

"Asta'firullah.." kata Ustaz Mansor samabil mengeleng-gelengkan kepalanya.

Aku dengan serta-merta menundukkan kepala berpura-pura seolah mencari sesuatu di dalam meja tulis. Sudah pasti kalau aku mengangkatkan kepala, aku pun akan turut disoal. Selalunya taktik ini amat berkesan setiap kali aku gunakan. Dan kali ini juga berkesan.

Ustaz Mansor beralih untuk menyoal rakan-rakan lain yang berada di belakangku.

"Ha Tok Ara... Sambung ayat kat papan tulis ni.." kata Ustaz Mansor.

"Kana huwa jamil jiddan..." jawab rakan sekelasku yang seorang ini.

"Ada pula sambungan ayatnya macam tu...!!!" pekik Ustaz Mansor.

Suasana blok bangunan kelas dua tingkat yang tadinya 'tenang' , hilang dengan serta-merta. Tidak kami nafikan, suara Ustaz Mansor memang kuat sekali tambahan pula setiap kali dia meninggikan suaranya. Suaranya itu akan didengari dengan jelas sehingga ke bangunan aspura.

"Ha Tok Buluh.." "Ha Tok Kesop.." "Ha Tok Jentik.." "Ha Tok Cabang.." "Ha Tok Lon.." "Ha Tok Nujum.." "Ha Tok Ayam.." "Ha Tok Itik.." habis semua rakan-rakan sekelas disoalnya seorang demi seorang. Semuanya terdiam.

Suara kuat Ustaz Mansor kedengaran lagi bila dia meneruskan bicara,

"La ilaha illallah... Apa satu pun hangpa tak tau... Kalau macam ni baik tak payah ngaji.. Lagi elok naik atas bukit bawa pisau sebilah, dah sampai atas tu baca 'Bismillahi Allahu Akbar' lepas tu sembelih tengkuk sendiri..".

Perkataan terakhir pada hujung bicaranya itu menyebabkan satu kelas ketawa. Dan Ustaz Mansor pun turut ketawa.

Acap kali memang akan begitu. Sedang kami sekelas ketakutan dek kebengisan suaranya, semua itu akan hilang dengan sendirinya bilamana tiba-tiba Ustaz Mansormembuat lawak. Dan situasi serta dialog seperti di atas memang akan berlaku berulang berkali-kali dek pita rakaman setiap kali berlangsungnya kelas bersama Ustaz Mansor....

======================================================

Ini antara coretan kenangan lebih 5 tahun lalu yang tidak akan sesekali penulis lupakan ketikamana menjadi penuntut di sekolah menengah. Dan saban kali 'Memori Itu Menyapa Kembali' penulis pasti akan tersenyum dan ketawa sendirian. Bertambah seronok tatkala kenangan itu diingat kembali tatkala berbual bersama bekas-bekas rakan sekelas.

Jam 4 petang tanggal 23 Februari 2011 waktu di Yaman... Penulis menerima mesej daripada seorang rakan di Malaysia. Di dalam mesejnya itu tertulis, "Al-Fatihah untuk Ustaz Mansor yang telah kembali ke rahmatillah jam 8 malam tadi..".

Penulis tiba-tiba terkedu. Tiada kata yang terucap. Hanya ucapan "Innalillahi Wainna Ilaihi Raji'un..." yang penulis taipkan sebagai balasan terhadap mesej daripada rakan dari Malaysia itu. Sedang seminggu sebelumnya, memang sudah ada kawan yang mencatat dan memaklumkan di ruangan group (kumpulan) pelajar MADI bahawa Ustaz Mansor telah dimasukkan ke wad ICU. Baca lanjut : Al Fatihah : Ustaz Mansor Ariffin telah kembali ke rahmatillah


Sesungguhnya penulis telah kehilangan seorang lagi insan yang telah banyak mencurahkan ilmunya kepada diri ini setelah perginya seorang lagi guru penulis mengadap ilahi pada ogos 2010 yang lalu. Baca : SMS Hari Lahir....

Semoga roh mereka ditempatkan di sisi orang-orang yang beriman...

Sepanjang pengetahuan penulis, Allahyarham Ustaz tidak pernah melanjutkan pelajarannya ke Timur Tengah, tetapi berkelulusan Syahadah Qismul Khas dari Madrasah Ad-Diniah Al-Alawiyah. Selepas menamatkan pengajiannya, Allahyarham telah mengajar di sekolah yang sama sedari usianya di awal 20'an. Oleh itu tidak hairanlah jika ada di kalangan anak muridnya yang berusia 75 tahun sedang beliau pergi untuk selamanya pada usia 83 tahun.

Walau tidak pernah melanjutkan pelajarannya di Timur Tengah, pada dirinya tidak dapat dinafikan betapa banyak dan hebatnya ilmu yang dikurniakan Allah kepada Allahyarham terutama dalam bidang Nahu dan Bahasa Arab. Hatta begitu ramai sekali ulama' dan tokoh-tokoh agama di negara kita pernah menjadi anak didiknya.

Sedikit pengalaman, pada suatu hari penulis menaiki sebuah teksi di Yaman. Dalam perjalanan ke tempat yang hendak ditujui, penulis berbual-bual dengan si pemandu. Sedang berbual, tiba-tiba terpacul dari mulut penulis kata-kata atau susunan ayat yang sering Ustaz Mansor gunakan ketika mengajar dahulu, terutamanya untuk subjek Insya'.

Seraya si pemandu menoleh dan berkata kepadaku, " Subhanallah Ya Akh.. Haza Kalamun Jamil Jiddan Jiddan.. Kalam Ahlul Luqwie ( Maha Suci Allah saudara.. Ini percakapan yang amat indah.. Percakapan seorang ahli bahasa) ..!!".

Penulis hanya tersenyum. Dalam hati kecil berbisik, " Wahai ustazku betapa Agungnya Maha Pencipta yang telah mengurniakanmu segala kelebihan ini dan bisakah aku menjadi sepertimu wahai ustazku..?? Betapa ruginya diri ini kerana tidak menggunakan sebaik mungkin peluang ketika bersamamu dulu...".

Sekadar ini dulu coretan penulis untuk kali ini. Kepada mereka yang pernah menjadi anak didik atau sesiapa sahaja yang mengenali Allahyarham Ustaz Mansor Bin Ariffin, penulis membuka peluang ini untuk kalian berkongsi sebarang pengalaman atau komen berkaitan Allahyarham Ustaz pada entri ini. Sekadar perkongsian bersama untuk kita kenang dan hargai jasa seorang guru yang pernah hadir dalam hidup kita pada mencurahkan ilmu dengan penuh keikhlasan tanpa minta dibalas.


"Ya Allah ampunkanlah kami, dan ibu-ibu dan bapa-bapa kami, dan guru-guru kami, serta sekalian muslimin dan muslimat, juga mukminin dan mukminat samaada yang masih hidup mahupun telah meninggal dunia.."

Wassalam.

***

3 comments:

CaHaYa HaTi DiYaNa said...

sebak n pilu mendengar berita pemergian insan yg byk berjasa itu.........................shukran jazilan ya ustaz............tp bila kenangan peristiwa berguru dgnnya.....rasa kelakar plak.... kejadian yg berlaku tu masa tingkatan bpa?

Unknown said...

rasa ssetiap kali arwah ustaz membebel, dia akan cakap macam tu... Arwah ustaz gelar diyana apa ya masa tu?

CaHaYa HaTi DiYaNa said...

dia gelar...cik siti wang kelian.....he3...kejadian di atas ni tgktn bpa?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PaidVerts